Teater akan dihidupkan kembali di peringkat sekolah: Abu Bakar Hamzah - Utusan Malaysia

Teater akan dihidupkan kembali di peringkat sekolah: Abu Bakar Hamzah

ABU Bakar Hamzah (tiga dari kiri) berhasrat menghidupkan kembali aktiviti dan persembahan teater di sekolah-sekolah negeri inii menerusi portfolio beliau dalam mengangkat semula budaya kesenian itu buat generasi muda. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Persembahan seni teater akan dihidupkan kembali di negeri ini bukan sahaja di peringkat awam malah turut membabitkan murid-murid sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, usaha ini bukan sahaja dapat menghidupkan semula budaya kesenian itu malah turut memberi pendedahan kepada murid-murid yang berminat dalam bidang berkenaan.

Katanya, bagi melaksanakan usaha itu, kerajaan negeri akan berganding bahu bersama-sama pemain industri teater dalam usaha untuk menghidupkan semula kesenian itu di peringkat sekolah.

“Kita akan bawa aktiviti atau program berkaitan teater ini untuk dihidupkan semula di peringkat sekolah-sekolah dan kita ada banyak kawan-kawan yang boleh berganding bahu dalam usaha ini.

“Usaha ini akan menjadi pemangkin untuk menghidupkan semula kesenian teater bukan sahaja di peringkat awam malah turut membabitkan murid-murid sekolah,” katanya dalam sidang akhbar Teater Madu Tiga Madu di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis, hari ini.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, kerajaan negeri juga mempunyai perancangan bagi menganjurkan persembahan teater bangsawan yang menterjemahkan kepada rakyat tentang susur galur pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersempena 25 tahun pemerintahan baginda.

Katanya, Jawatankuasa Pengkisahan Sejarah Jubli Perak juga telah ditubuhkan sebelum ini melibatkan beberapa individu lain yang mahir khususnya berkaitan sejarah negeri ini.

“Dalam masa sama, kita juga akan mengangkat martabat tanjak rasmi negeri ini iaitu Putra Julang Darjat dalam persembahan teater ini,” katanya.

Tambahnya, terdapat juga cetusan idea daripada pemikir sejarah negeri ini untuk mengetengahkan teater bangsawan lain antaranya seperti pengkisahan mengenai perahu Jalur Emas Putra Jamalullail.

“Ini amat bersesuaian untuk diterjemahkan kepada rakyat khususnya berkaitan sejarah di negeri ini. Dalam masa sama, kerajaan negeri juga akan menyemarakkan penganjuran Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs) menerusi persembahan teater di samping membawa pelakon-pelakon berbakat dari negeri ini untuk mengadakan persembahan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN