SEMUA pihak perlu menyahut dan menerima rasa tanggungjawab bersama untuk memastikan pendidikan mampu melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berjaya menongkah cabaran selaras dengan hasrat Kerajaan Madani.
Sudah tentu golongan yang terlibat secara langsung bagi mencapai matlamat tersebut ialah pihak kerajaan, ibu bapa dan warga pendidik.
Pihak kerajaan memainkan peranan menentukan dasar untuk dilaksanakan bagi memantapkan perjalanan pendidikan negara sementara ibu bapa memastikan anak-anak mereka mampu menerima pengajaran yang diajar oleh warga pendidik.
Sempena pembukaan awal persekolahan baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan sistem pendidikan negara tidak hanya bergantung pada dasar dan peruntukan tetapi juga pada kerjasama erat antara semua yang terlibat.
Katanya, dengan memastikan pendidikan yang berkualiti, berteraskan nilai dan kemanusiaan, lantas meyakini mampu untuk melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta boleh menongkah arus cabaran dengan semangat dan keyakinan.
Beliau turut melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Besi, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwong Hon dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Besi.
Kunjungan beliau ke tiga sekolah itu adalah untuk memantau pengedaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang merupakan inisiatif penting bagi meringankan beban ibu bapa membuat persiapan.
Begitulah banyaknya perancangan yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan setiap rakyat di negara ini menerima ilmu dengan sempurna.
Dengan ilmu yang lengkap dimiliki oleh anak-anak tersebut bermula dari peringkat prasekolah, sekolah rendah, menengah hingga muktamadnya di peringkat universiti.
Apabila seseorang anak itu memperoleh ilmu keagamaan dan akademik, sudah pasti mereka akan menjadi insan yang berjaya untuk pengisian di dunia hingga ke akhirat. – UTUSAN
RAMLI ISMAIL,
Kangar, Perlis










