Kanak-kanak enam tahun sudah bersedia untuk ke sekolah

Kanak-kanak enam tahun sudah bersedia untuk ke sekolah

KANAK-KANAK yang sudah bersedia dari segi mental dan emosi boleh memulakan pembelajaran formal lebih awal, sekaligus mengoptimumkan potensi mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INISIATIF Kementerian Pendidikan yang membenarkan pendaftaran secara sukarela ke Tahun Satu bagi kanak-kanak seawal usia enam tahun bermula 2027 merupakan langkah progresif yang selaras dengan hasrat Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 dan mencerminkan fleksibiliti sistem pendidikan kita dalam memenuhi keperluan semasa.

Inisiatif ini mengakui bahawa setiap kanak-kanak berkembang pada kadar berbeza. Dengan memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftar anak secara sukarela, kita menghormati kepelbagaian kematangan kognitif, emosi dan sosial murid.

Ini membolehkan kanak-kanak yang sudah bersedia dari segi mental dan emosi untuk memulakan pembelajaran formal lebih awal, sekaligus mengoptimumkan potensi mereka tanpa terikat kepada garis masa yang kaku.

Dunia pendidikan hari ini menuntut lebih banyak personalisasi dan kelenturan. Polisi ini menunjukkan responsif kerajaan terhadap evolusi keperluan pembelajaran abad ke-21, akses kepada pendidikan formal boleh disesuaikan dengan kesediaan individu.

Ia juga selari dengan amalan terbaik antarabangsa yang semakin mengutamakan school readiness berbanding sekadar usia kronologi.

Inisiatif ini selari dengan teras Rancangan Pendidikan Malaysia yang menekankan pendidikan berkualiti, inklusif dan berpusatkan murid.

Dengan memberikan pilihan, kita mengukuhkan pendekatan berasaskan keupayaan dan minat murid, sekaligus menyumbang kepada pembangunan modal insan yang lebih holistik dan kompetitif. Ia juga memperlihatkan komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi pendidikan yang progresif dan relevan.

Kajian akademik menunjukkan bahawa kanak-kanak yang diberikan peluang pembelajaran mengikut tahap kesediaan menunjukkan motivasi yang lebih tinggi, keyakinan diri yang kukuh dan pencapaian akademik yang lebih baik dalam jangka panjang.

Inisiatif ini boleh mengurangkan tekanan pembelajaran tidak sesuai usia dan membantu menggilap bakat murid seawal mungkin.

Dengan melibatkan ibu bapa dalam membuat keputusan pendaftaran awal, polisi ini mengukuhkan perkongsian tanggungjawab antara rumah dan sekolah.

Ibu bapa yang memahami perkembangan anak boleh membuat pilihan terbaik, manakala sekolah pula dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih homogen dari segi kesediaan murid.

Inisiatif ini merupakan langkah positif ke arah sistem pendidikan yang lebih lentur, adil dan berpusatkan murid.

Ia bukan sahaja selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, malah menjana ruang untuk pembangunan potensi murid secara optimum, sekaligus menyediakan generasi muda untuk menghadapi cabaran masa depan dengan lebih baik.

Inisiatif ini akan menyumbang secara signifikan kepada peningkatan kualiti pendidikan negara dan kesejahteraan holistik murid. – UTUSAN

DR. FAZILAH RAZALI
Ketua Jabatan, Jabatan Asas Pendidikan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×