Semakan semula SST untuk pastikan rakyat tidak terjejas

Semakan semula SST untuk pastikan rakyat tidak terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menjelaskan, barangan dan perkhidmatan asas tidak akan dikenakan cukai apabila semakan semula Cukai Jualan dan Per­khidmatan (SST) mulai 1 Julai ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penyediaan perunda­ngan turut mengambil kira maklum balas serta input industri bagi memastikan majoriti rakyat tidak terjejas dan kesan terhadap pihak industri dapat diminimumkan.

AMIR HAMZAH AZIZAN

Menurut beliau, kadar Cukai Jualan (CJ) kekal tidak dinaikkan ke atas barangan keperluan asas yang digunakan rakyat, manakala kadar CJ dikenakan sebanyak 5 peratus atau 10 peratus dikenakan ke atas barangan pilihan dan bukan ke­perluan asas.

“Skop kenaan Cukai Per­khid­­matan (CP) diperluas kepada perkhidmatan baharu seperti sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

“Peluasan ini disertakan de­ngan pengecualian terpilih untuk mengelakkan cukai ber­ganda, serta memastikan per­khidmatan keperluan tertentu untuk warganegara Malaysia tidak dikenakan cukai,” kata­nya dalam kenyataan di sini semalam.

Amir Hamzah berkata, semakan semula SST telah melalui proses libat urus bersama pihak berkepentingan, khusus­nya persatuan industri dan ejen percukaian.

Katanya, kerajaan komited untuk meneruskan pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi Madani.

“Bagi memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan daripada semakan semula SST, kerajaan mengambil pendekatan bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai.

“Selain itu, pelbagai kemudahan turut disediakan bagi mengurangkan kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.

Beliau berkata, hasil tambahan daripada penambahbaikan SST ini akan membolehkan penambahbaikan lanjut dalam perkhidmatan awam.

Ini khususnya peningkatan jumlah bantuan tunai kepada rakyat, serta memperkukuh pra­sarana asas dan penyampaian perkhidmatan awam sebagai melengkapi usaha kerajaan merancakkan ekonomi dan memperkukuh jaringan kese­lamatan sosial.

“Tambahan hasil ini dapat dimanfaatkan seluruh negara tanpa menambah beban kepada majoriti rakyat,” tambah beliau.

Pada masa sama, beliau berkata, bagi syarikat yang mengambil tindakan untuk mematuhi syarat perundangan SST yang ditetapkan, tiada tindakan pendakwaan dan pe­nalti akan dikenakan sehingga 31 Disember 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN