KUALA LUMPUR: Sektor tenaga mempunyai kekuatan untuk memacu pertumbuhan ekonomi rantau ASEAN, sekali gus memberi keyakinan pelabur serta menggerakkan aliran modal ke dalam projek tenaga boleh baharu di seluruh rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana ASEAN mempunyai potensi yang sangat besar dalam tenaga boleh baharu seperti tenaga angin di Vietnam, kuasa hidro di Laos, solar di Malaysia serta tenaga geoterma di Indonesia.
Katanya, Malaysia dalam masa yang sama berusaha untuk menangani jurang itu melalui dasar seperti Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), yang membolehkan syarikat memperoleh tenaga bersih melalui grid nasional di bawah model akses pihak ketiga.
“Usaha juga sedang dijalankan untuk memberi insentif kepada pelaburan hijau melalui mekanisme seperti Skim Pembiayaan Teknologi Hijau,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Persidangan Tenaga Asia (Energy Asia) 2025 di sini semalam.
Dalam pada itu, Anwar berkata, tonggak kritikal kedua yang perlu diberi perhatian dalam memajukan peralihan tenaga di rantau ini adalah menaik taraf grid elektrik.
Justeru katanya, rantau ini mengambil langkah penting dengan mempercepatkan inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG) melalui memorandum perjanjian yang dipertingkatkan dan penubuhan rangkaian kemudahan pembiayaan APG khusus.
Menurut Anwar, aliran pembiayaan rentas sempadan mampu dipertingkatkan sekali gus membawa ASEAN lebih dekat kepada pasaran tenaga serantau yang benar-benar bersepadu.
“Ia mendorong kepada kesalinghubungan melangkaui perdagangan atau diplomasi, meluas kepada tenaga, nadi ekonomi moden.
“Di Malaysia, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) komited memperuntukkan RM43 bilion untuk menaik taraf infrastruktur grid negara, menggabungkan kecerdasan buatan (AI) dan sistem storan tenaga bateri untuk membina daya tahan dan fleksibiliti yang lebih besar untuk masa hadapan,” katanya.
Tambah Anwar, permintaan tenaga di Asia Pasifik melonjak sehingga mencecah 50 peratus pada tahun lalu.
Malah katanya, ASEAN menyumbang 60 peratus kepada pelepasan global dengan semua negara menyatakan komitmen untuk mengurangkan perubahan iklim.
Dalam pada itu, Anwar berharap pelaburan dalam bidang tenaga dapat dipertingkatkan bagi memastikan tahap kecekapan dan mengurangkan pelepasan sistem tenaga sedia ada ekoran
bahan api fosil masih menyumbang hampir 80 peratus daripada bekalan tenaga global.
Katanya, keterjaminan tenaga mesti melangkaui kestabilan bekalan dengan memasukkan keadilan sosial dan akses inklusif.
Selain itu, Anwar berkata, ASEAN dalam masa yang sama perlu meletakkan asas untuk laluan pragmatik melalui Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Penangkapan dan Penyimpanan Karbon ASEAN (CCS),
Katanya, ini penting untuk memperkemas dasar dan memudahkan aliran modal serta karbon merentasi sempadan.
“Malaysia sudah melaksanakannya dengan meluluskan Rang Undang-undang Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 awal tahun ini untuk menyediakan asas kawal selia bagi sektor yang sedang berkembang itu.
“Petronas mengetuai tanggungjawab dengan rancangan untuk membangunkan tiga hab CCS di perairan luar pesisir, bukan sahaja untuk sektor minyak dan gas, tetapi juga industri lain,” ujarnya.
Menurut Anwar lagi, usaha CCS Malaysia membabitkan lebih 10 rakan kongsi antarabangsa dari Jepun, Korea Selatan dan firma tenaga global seperti Total dan Shell.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhilah Yusof berkata, ASEAN kini dalam usaha menjadi antara pembekal utama tenaga boleh baharu terkemuka di dunia melalui kerjasama erat antara negara-negara anggota.
Jelasnya, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN memainkan peranan penting dalam Projek Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid – APG) dan melihat ia sebagai langkah strategik dalam memastikan keselamatan tenaga dan kelestarian alam sekitar terjamin.
Malah jelasnya, beliau yakin perancangan tersebut mampu menarik pelaburan luar.
“Kami menyasarkan untuk menyediakan hala tuju Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid – APG) menjelang akhir tahun ini ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN. Filipina dijangka akan meneruskan pelaksanaannya tahun hadapan,” jelasnya. – UTUSAN