PETALING JAYA: Kerajaan negeri Sabah kekal komited menegakkan prinsip integriti dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, sama ada melibatkan pemimpin mahupun penjawat awam.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pentadbiran negeri mesti berlandaskan integriti dan ketelusan bagi memastikan kepercayaan rakyat sentiasa terpelihara serta menjamin pembangunan negeri dilaksanakan secara adil dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, kerajaan negeri kekal stabil dan siasatan serta pendakwaan yang melibatkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak akan menjejaskan pentadbirannya.
Justeru, katanya, beliau tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terbukti melakukan kesalahan, malah menyeru semua pemimpin dan penjawat awam di negeri ini untuk menjadikan integriti sebagai prinsip utama dalam menjalankan tugas.
“Saya ambil maklum perkara itu. Kita mesti menghormati proses undang-undang dan menyerahkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Kerajaan negeri sentiasa komited memastikan bukan sahaja pematuhan terhadap undang-undang, malah menjadikan integriti sebagai asas dalam kalangan anggota kerajaan dan penjawat awam,” katanya.
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, walaupun dimaklumkan mengenai kemungkinan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau tidak mengetahui identiti individu yang terlibat.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan memberi ruang penuh kepada SPRM dan mahkamah untuk menjalankan tugas mereka tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Jelasnya, sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa hanya akan menjejaskan imej kerajaan negeri dan melemahkan kepercayaan rakyat, justeru tindakan tegas perlu diambil tanpa memilih bulu.
“Saya difahamkan SPRM akan membuat pendakwaan terhadap dua orang, tetapi saya tidak tahu siapa mereka. Apa pun, kita harus memastikan proses undang-undang berjalan dengan lancar dan seadilnya.
“Biar mahkamah menentukan sama ada mereka bersalah atau tidak. Mereka juga berhak membersihkan nama masing-masing mengikut proses yang sah. Itu prinsip yang kita pegang,” ujarnya.
Selain itu, Hajiji turut menyeru agar semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung kes berkenaan, sebaliknya memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara bebas dan profesional.
“Kerajaan negeri tidak akan mencampuri urusan siasatan. Kita menghormati sepenuhnya peranan SPRM dan sistem kehakiman negara.
“Kerajaan negeri berpegang kepada prinsip akauntabiliti. Jika ada yang bersalah, mereka mesti bertanggungjawab. Tiada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang,” ujarnya.
Pendirian tegas Hajiji menolak sebarang bentuk rasuah turut dilihat sebagai cerminan komitmen kerajaan negeri untuk mengekalkan pentadbiran yang bersih, telus dan bebas salah guna kuasa.
“Usaha memerangi rasuah bukan hanya terletak di bahu agensi penguat kuasa seperti SPRM, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama, khususnya dalam kalangan pemimpin yang memegang amanah rakyat,” katanya.
Hajiji turut menegaskan budaya integriti perlu diterapkan secara menyeluruh dalam pentadbiran negeri, termasuk di semua agensi dan jabatan, bagi memastikan usaha membanteras rasuah dapat dilaksanakan secara sistematik dan berkesan.
Katanya, integriti perlu dijadikan budaya kerja dan bukan sekadar slogan atau kempen bermusim, kerana sebarang ruang kepada penyalahgunaan kuasa hanya akan merugikan rakyat serta menjejaskan kemajuan negeri.
Hajiji berkata, rakyat Sabah menolak rasuah dan mendambakan sebuah kerajaan yang benar-benar telus, bertanggungjawab serta mendahulukan kepentingan rakyat.
Jelasnya, rakyat kini semakin matang dalam membuat penilaian dan sebarang percubaan untuk menyalahgunakan kuasa hanya akan menghakis sokongan terhadap kerajaan.
Justeru, katanya, integriti bukan lagi pilihan, tetapi menjadi keperluan asas dalam tadbir urus pentadbiran moden yang berkesan dan diyakini rakyat.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM dijangka mendakwa tiga individu, termasuk dua ADUN Sabah berhubung siasatan Op Adun berkaitan isu pengeluaran lesen perlombongan. – UTUSAN