MOSCOW: Russia mengumumkan pelaksanaan ujian berskala besar terhadap sistem pertahanan baharu berasaskan laser untuk menangkis ancaman dron.
Menurut kenyataan kerajaan pada Jumaat, teknologi baharu itu digambarkan sebagai ‘meyakinkan’ dan diuji terhadap pelbagai jenis dron dalam keadaan cuaca yang berbeza.
Kerajaan Russia memaklumkan, laser anti dron akan menjadi sebahagian daripada sistem pertahanan udara sejagat, yang menurut Presiden Vladimir Putin, sebagai keperluan penting untuk keselamatan negara.
“Hasil ujian ini akan digunakan untuk menambah baik model sedia ada dan membangunkan sistem yang mampu memberi perlindungan kukuh terhadap senjata serangan udara moden.
“Ujian ini juga membolehkan kita memulakan pengeluaran bersiri dan memperluaskan skala penggunaan,” menurut kenyataan tersebut.
Satu video yang dikeluarkan bersama kenyataan itu memaparkan serpihan hangus dari dron yang dimusnahkan.
Sepanjang konflik Russia-Ukraine, kedua-dua pihak giat menggunakan dron dalam jumlah besar, bukan sahaja di medan perang malah untuk menyerang sasaran jauh di luar barisan hadapan.
Dron Ukraine secara kerap menyerang sasaran jauh di dalam wilayah Russia termasuk depot minyak, kilang penapisan dan lapangan udara sekaligus menunjukkan keperluan Moscow untuk memperkukuh sistem pertahanannya.
Awal bulan ini, beberapa dron Ukraine dilaporkan berjaya diseludup hampir ke pangkalan udara Russia menggunakan trak yang menyebabkan kerosakan besar terhadap armada pengebom jarak jauh negara itu.- AGENSI










