NEW YORK: Seekor udang kara atau ‘lobster’ yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun kini dilepaskan semula ke laut selepas menerima ‘pengampunan’ istimewa daripada dua pegawai tempatan di Amerika Syarikat (AS).
Udang kara seberat 9.5 kilogram (kg), yang dikenali sebagai Lorenzo, merupakan maskot ikonik di restoran makanan laut Peter’s Clam Bar di Long Island, New York.
Majlis pelepasan Lorenzo diadakan pada 12 Jun lalu sempena sambutan Hari Udang Kara Kebangsaan dan Hari Bapa, yang disaksikan oleh pengunjung serta media tempatan.
Majlis simbolik itu diketuai oleh Penyelia Bandar Hempstead, Don Clavin dan Ahli Dewan Perundangan Daerah Nassau, John Ferretti, menurut laporan media tempatan.
Stesen penyiaran WNBC melaporkan, Lorenzo dibawa dengan pengiring penuh menaiki bot ke Atlantic Beach Reef untuk dilepaskan.
“Saya tidak dapat memikirkan cara lebih baik untuk meraikan Bulan Udang Kara Kebangsaan selain daripada membiarkan Lorenzo menikmati ‘persaraan’ di Lautan Atlantik,” kata Calvin.
Pemilik Peter’s Clam Bar, Butch Yamali, mendedahkan bahawa Lorenzo menjadi penghuni tetap dalam tangki restoran itu selama bertahun-tahun tanpa diketahui umum.
“Lorenzo seolah-olah ‘terlepas pandang’ dan berada dalam tangki kami bertahun-tahun. Banyak udang kara tidak hidup selama ini, tapi dia bertahan. Jadi kami fikir, tiada cara yang lebih baik untuk meraikan Hari Bapa selain melepaskan Lorenzo ke laut,” katanya kepada stesen WPIX-TV.
Tambah Yamali, Lorenzo bukan sahaja menjadi tarikan pelanggan yang datang untuk bergambar malah menjadi sebahagian daripada identiti restoran.
“Dia akan dirindui, tetapi saya rasa ini keputusan terbaik. Jika dia mati di sini, saya sendiri tidak sanggup untuk menjualnya,” ujarnya.- AGENSI










