BOGOTÁ: Penemuan rangka manusia berusia kira-kira 6,000 tahun di dataran tinggi Bogota, Columbia, membuka lembaran baharu dalam kajian arkeologi.
Struktur genetik rangka itu didapati tidak sepadan dengan mana-mana keturunan penduduk asal yang diketahui di Amerika Selatan.
Rangka, yang ditemukan di tapak praseramik purba Checua berhampiran ibu negara Columbia, dikenal pasti berasal daripada kumpulan pemburu dan pengumpul hasil hutan yang mempunyai susur galur genetik berbeza, keturunan yang kini pupus sepenuhnya dan tidak lagi wujud dalam populasi moden.
Menurut penyelidik dari Pusat Evolusi Manusia Senckenberg di Jerman, Kim-Louise Krettek, kajian terhadap DNA purba daripada 21 individu yang hidup antara 6,000 hingga 500 tahun lalu, menunjukkan bahawa manusia awal di Checua membawa tanda genetik yang unik dan hilang sepenuhnya daripada genetik moden.
“Checua merupakan kawasan penting kerana ia menjadi jambatan darat antara Amerika Utara dan Selatan serta titik pertemuan tiga kawasan budaya utama: Mesoamerika, Amazonia dan Andes,” katanya.
Lebih menarik, kajian mendapati kumpulan itu tidak mempunyai kaitan genetik dengan populasi purba lain di Amerika Selatan seperti di Chile atau Brazil, mahupun populasi awal di Amerika Utara termasuk di Kepulauan Channel, California.
Kajian turut memberikan gambaran baharu terhadap kawasan dikenali sebagai ‘Isthmo-Columbian’, iaitu satu zon peralihan budaya dan genetik yang merentasi Honduras, Panama hingga ke Andes Utara, Columbia.
Analisis DNA menunjukkan walaupun lelaki Checua membawa tanda genetik Y-DNA Q1b1a yang biasa dalam kalangan penduduk asli Amerika, keseluruhan profil genetik mereka sangat terasing dan tidak diwarisi oleh populasi selepasnya.
Ini merupakan kali pertama DNA purba dianalisis di Columbia, dan penyelidik percaya masih banyak kawasan belum diteroka, termasuk di Columbia Barat, Venezuela dan Ecuador, yang berpotensi menyimpan rahsia populasi awal manusia di Amerika Selatan.– AGENSI










