KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi dan jawatan itu akan diganti oleh menteri lain yang akan diputuskan kemudian.
Pada masa yang sama Perdana Menteri berharap Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut mengikuti Rafizi melepaskan jawatan menteri, dapat meneruskan tugas tersebut.
Menurutnya, Kementerian Ekonomi juga tidak akan dibubarkan dan akan terus menjalankan fungsinya seperti sebelum ini.
“Saya fikir tidak ada keperluan untuk dirombak apa-apa setakat ini dan saya ucap selamat berjaya kepada saudara Rafizi yang telah berkhidmat dengan begitu baik sebagai Menteri Ekonomi.
“Saya juga akan putuskan pada waktunya mana-mana menteri atau kementerian untuk menjalankan tugas di Kementerian Ekonomi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Energy Asia 2025 di sini, semalam.
Mohd. Rafizi sebelum ini membuat keputusan meninggalkan Kabinet berkuat kuasa hari ini selepas beliau gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR dalam dalam baru-baru ini.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada Kementerian Ekonomi akan diletakkan kembali di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Anwar berkata, tiada keperluan untuk mengembalikan perkara itu.
“Kita teruskan untuk sekarang (Kementerian Ekonomi) kerana tidak ada isu tidak ada masalah teruskan,” katanya.
Anwar berkata, beliau memberikan masa dan peluang untuk Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berfikir untuk kekal memikul jawatan berkenaan.
“Saya selalu tunggu dan beri peluang, masa untuk berfikir dan kalau boleh teruskan tanggungjawab. Masih ada masa lagi,” katanya.
Nik Nazmi yang turut kalah dalam pemilihan parti sebelum ini mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa 4 Julai ini. – UTUSAN










