TEL AVIV: Iran ‘menghantar’ puluhan peluru berpandu ke atas Israel awal pagi semalam, sebagai tindak balas terhadap serangan besar-besaran yang menyasarkan kemudahan nuklear dan ketenteraan di negara republik Islam itu.
Siren amaran serangan udara dan letupan kedengaran di seluruh Israel, dengan tentera menggesa penduduk untuk bersembunyi di tempat perlindungan bawah tanah.
Tentera Israel mendakwa, puluhan peluru berpandu dilancarkan oleh Iran dalam gelombang kedua serangan balas tersebut, dengan sebahagiannya berjaya dipintas sistem pertahanan udara rejim, termasuk Iron Dome.
Menurut wartawan AFP, asap tebal kelihatan di atas bangunan pencakar langit di pusat bandar Tel Aviv, manakala Pengawal Revolusi Iran mengesahkan menyerang puluhan sasaran di wilayah Israel.
Pasukan penyelamat Israel mendakwa, dua orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera selepas sebuah peluru berpandu mendarat berhampiran kawasan kediaman mereka.
Pasukan penyelamat dilaporkan sedang mengalihkan runtuhan beberapa bangunan apartmen yang musnah dalam kejadian di Rishon Lezion, sebuah bandar berhampiran Tel Aviv.
Seorang penduduk, Chen Gabizon memberitahu AFP, dia bergegas ke tempat perlindungan bawah tanah selepas menerima amaran melalui telefon.
“Selepas beberapa minit, kami dengar letupan yang sangat kuat, semuanya bergegar, asap dan debu memenuhi udara,” katanya.
Di Teheran, api dan asap tebal kelihatan dari Lapangan Terbang Mehrabad awal pagi Sabtu, dengan media tempatan melaporkan berlaku letupan di kawasan tersebut.
Pihak berkuasa Iran berkata, mereka mengaktifkan sistem pertahanan udara dan letupan kedengaran di seluruh bandar raya itu.
Puluhan penduduk Teheran turun ke jalan raya pada waktu malam bagi menyambut tindak balas ketenteraan negara itu, sambil mengibarkan bendera kebangsaan dan melaungkan slogan anti-Israel.
Utusan Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani, mengesahkan serangan udara Israel meragut 78 nyawa, termasuk pegawai kanan tentera, manakala lebih 320 lagi cedera.- AFP










