PAT ketuai penerima anugerah Hari Keputeraan Sultan Kedah

PAT ketuai penerima anugerah sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah mengurniakan Darjah SSPK yang membawa gelaran Datuk Seri Pahlawan kepada Mohd. Nizam Jaafar pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-83 di Istana Anak Bukit, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaafar mendahului senarai 235 penerima anugerah darjah, bintang dan pingat kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-83 di sini, hari ini.

Mohd. Nizam yang dilantik pada 31 Januari lalu menjadi penerima tunggal Darjah Dato’ Seri Setia Pahlawan (SSPK) yang membawa gelaran Datuk Seri Pahlawan.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dianugerahkan Orang Besar Lapan yang masing-masing membawa gelaran Dato’ Seri Indera Setia dan Dato’ Seri Derma Wangsa.

Seramai dua penerima Darjah Dato’ Setia Pahlawan Negeri Kedah (DSPK) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan iaitu Panglima Angkatan Bersama Tentera Udara Diraja Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin dan Timbalan Panglima Tentera Laut Markas Tentera Laut Kuala Lumpur, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Mohamad Yusoff Zakaria yang memegang portfolio Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah menjadi penerima tunggal Darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Datuk.

Enam penerima Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk iaitu Pegawai Daerah Kubang Pasu, Muhamad Mahazi Ibrahim; Duta Besar Malaysia Ke Bahrain, Shazryll Zahiran dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Turut menerima DSDK ialah Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Zainul Darus; Setiausaha Kehormat Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah, Ahmad Fatahi Omar dan Pengarah Eksekutif Fuji Electric Malaysia Sdn. Bhd., Chong Nee Hwa.

Dua penerima Darjah Dato’ Setia Pahlawan (DDSP) yang membawa gelaran Datuk masing-masing Asisten Ketua Staf Cawangan Logistik, Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Abd Hafiz Ahmad dan Pengarah Angkatan Tentera Malaysia, Brigedier Jeneral Saiful Bahari Zainol.

Setia Sultan Sallehuddin Kedah (SSS) diberikan kepada empat penerima iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, Dzowahir Abdul Ghani; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam dan Badan Bukan Kerajaan Kedah, Wong Chia Zhen; Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam; Azhar Ibrahim dan Tunku Putri Nur Asma Tunku Ja’afar Laksmana.

Seramai lapan penerima dianugerahkan Setia Diraja Kedah (SDK) iaitu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah; Pegawai Daerah Pendang, Nasrun Mohd Sheriff; Pakar Perunding Jantung dan Elektrofisiologi Hospital Sultanah Bahiyah, Dr N. Kantha Rao dan Pengarah Kanan Bahagian Jabatan Perkhidmatan Vaterinar, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Haron.

Turut menerima SDK ialah Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan Kementerian Kerja Raya, Ahmad Shahruzi Ahmad; Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Muhamad Abdullah; Presiden Persatuan Skuasy Negeri Kedah, Andrew Lim Hwa Eng dan Timbalan Presiden Persatuan Perahu Layar Negeri Kedah, Mohd. Afendy Abdullah.

Sementara itu, seramai 34 penerima dianugerahkan pingat Ahli Mahkota Kedah (AMK); 11 Ahli Setia Pahlawan (ASP); 24 Bintang Perkhidmatan Cemerlang Kedah (BCK); 46 Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM); empat Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah (ASK); 27 Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kedah (PCK); 41 Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 22 Pingat Perkhidmatan Lama (PPL). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN