PEKAN: Anak ketiga pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Batu 8, Lepar di sini, Norsyamira Jamal Azizul, 13, kelihatan sugul, sebak dan tidak mampu berkata-kata ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan hari ini.
Neneknya, Siti Manap, 60, berkata, kali terakhir cucunya itu bertemu ibu bapanya adalah ketika sambutan Hari Raya Aidiladha lalu.
“Sebelum kejadian kemalangan, Norsyamira ada beritahu saya ibunya memuat naik status di Facebook tentang mereka pergi ke rumah adik saya untuk makan durian,” katanya di Unit Forensik Hospital Pekan di sini hari ini.
Mangsa, Jamal Azizul Samat, 44, dan isterinya, Lizawati Abdullah, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kereta Proton Wira dinaiki bersama tiga anaknya terbabit kemalangan dengan sebuah lori pukul 10 malam tadi.
Tiga anak pasangan terbabit, Nursyammie, 17, Muhammad Syamril Alif, 15, dan Muhammad Syakir Iman, 6, cedera parah dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Norsyamira yang menetap bersama neneknya di Felda Keratong 9, Rompin sejak lebih setahun lalu, tidak bersama keluarganya ketika kejadian.
Mengimbas detik menerima berita duka itu, Siti berkata, dia dimaklumkan kejadian tersebut oleh adiknya sekitar pukul 11 malam.
“Ketika itu kami sedang tidur. Adik telefon dan minta saya kenal pasti sama ada kereta anak saya terlibat dalam kemalangan. Saya tanya nombor plat kereta, kemudian minta anak saya sahkan.
“Selepas disahkan, saya terus kejutkan Norsyamira untuk ke lokasi kejadian. Dia ada tanya kenapa, tapi saya tidak sampai hati nak beritahu. Selepas sampai di tempat kejadian, barulah dia tahu ibu dan ayahnya sudah tiada,” ujarnya sebak.
Jenazah pasangan suami isteri itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Chini Timur 1 di sini hari ini.
Ditanya tentang masa depan empat cucunya yang kini yatim piatu, Siti berkata, segala keputusan akan diserahkan kepada mereka sendiri.
“Norsyamira memang dah tinggal dengan saya dan bersekolah di Felda Keratong sejak berusia 12 tahun. Untuk cucu yang lain, saya serahkan pada mereka untuk buat keputusan sendiri,” katanya. – UTUSAN