PETALING JAYA: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad kekal dengan pendiriannya untuk meletak jawatan dalam Kabinet meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mengharapkan keputusan sebaliknya.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, mandat parti lebih penting untuk reformasi walaupun mempunyai pilihan untuk kekal dalam Kabinet.
Tambah beliau, keputusan itu diambil dengan penuh pertimbangan, seumpama langkah yang diambil oleh bekas Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp yang memilih untuk berundur meskipun begitu mencintai kelab dan amat menghargai pasukannya.
“Itulah perasaan saya. Saya menyatakan bukan mudah untuk meninggalkan NRES. Selepas dua tahun, saya anggap pasukan di NRES, jabatan dan agensi sudah mencapai tahap pasukan impian dengan komitmen, kebolehan dan kewibawaan yang luar biasa.
“Tetapi keputusan saya buat ini adalah untuk perkiraan yang lebih besar. Mandat parti adalah penting untuk reformasi luas. Memang saya ada pilihan untuk kekal, tapi pilihan saya adalah untuk letak jawatan,” katanya di Facebook miliknya semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri menyatakan harapan agar Nik Nazmi dapat meneruskan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan memberikan masa serta peluang untuk Ahli Parlimen Setiawangsa itu berfikir.
“Saya selalu tunggu dan beri peluang, (masa) untuk berfikir dan kalau boleh teruskan (tanggungjawab). Masih ada masa lagi,” katanya yang menerima pelatakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Peletakan jawatan Rafizi berkuat kuasa kelmarin selepas beliau menghabiskan cutinya, manakala Nik Nazmi berkuat kuasa mulai 4 Julai ini.
Sementara itu, Rafizi memberitahu, beliau akan menjawab segala persoalan termasuk dakwaan bakal menubuhkan parti baharu menerusi podcast, ‘Yang Berhenti Menteri (YBM)’, Jumaat ini.
Menerusi hantaran rasmi dalam Instagram, Ahli Parlimen Pandan itu memberitahu, beliau kini bebas bersuara dan tidak terikat dengan sebarang etika kerajaan dan kerahsiaan.
“Insya-Allah, saya akan mengimbangkan ulasan YBM – bakar pun ada, beri pencerahan pun ada. Paling penting mestilah objektif, berfakta dan memberi pemahaman adil kepada semua.
“Kuat merajuk, tidak makan dipujuk, jadi menteri tiada hasil, hendak buat parti baharu serta formula entah ke mana (antara dakwaan yang bakal dijelaskan)… Jumpa hari Jumaat ini, pukul 9 malam,” katanya. – UTUSAN










