Nahas Air India: Tiada keperluan gantung operasi Boeing 787

Nahas Air India: Tiada keperluan gantung operasi Boeing 787

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) memaklumkan bahawa tiada petunjuk keselamatan segera yang memerlukan penggantungan operasi pesawat Boeing 787 ketika ini, susulan insiden nahas membabitkan pesawat Air India yang mengorbankan lebih 240 nyawa.

Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy dan Pemangku Ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Chris Rocheleau berkata demikian dalam satu sidang media sambil memaklumkan sudah melihat rakaman video berkaitan nahas yang berlaku di Ahmedabad, India.

Duffy turut mengesahkan bahawa beliau mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB), Jennifer Homendy.

Menurutnya, satu pasukan gabungan NTSB dan FAA dengan sokongan daripada Boeing serta pengeluar enjin GE Aerospace dalam perjalanan ke India bagi menyiasat punca insiden.

“Mereka perlu berada di lokasi untuk membuat penilaian. Buat masa ini, sebarang keputusan akan dianggap terlalu awal dan tidak wajar.

“Menilai insiden hanya berdasarkan video bukanlah kaedah yang tepat untuk menentukan punca sebenar sesuatu kejadian,” kata Duffy.

Tambah beliau, FAA sedang menyemak semua maklumat yang ada bersama Boeing dan GE sebagai sebahagian daripada siasatan.

Beliau juga menegaskan, kerajaan AS tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan sebarang cadangan keselamatan yang mungkin wujud daripada siasatan.

“Kami akan berpegang pada fakta dan meletakkan keselamatan sebagai keutamaan utama,” katanya.

Rocheleau pula menegaskan, sekiranya terdapat maklumat baharu yang menunjukkan sebarang risiko, pihaknya akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengurangkan risiko tersebut.

Duffy turut menyatakan FAA bersedia menghantar sumber tambahan ke India bagi mendapatkan maklumat lengkap demi menjamin keselamatan pengguna penerbangan awam.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN