Majoriti pekerja kontrak - PM

Majoriti pekerja kontrak – PM

ANWAR Ibrahim beramah mesra bersama ahli kariah ketika hadir bagi menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Ikhwan, Jalan Pinggiran Putra, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri mengesahkan pengurangan sebanyak 10 peratus kakitangan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) majoritinya adalah pekerja kontrak.

“Iya, banyak pekerja kontrak,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ringkas ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Ikhwan, Desa Pinggiran Putra, dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah penstrukturan semula syarikat minyak negara itu dengan menjangkakan kira-kira lebih 5,000 pekerja akan terbabit atau kira-kira 10 peratus dari­pada keseluruhan kakita­ngan.

Semalam, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memaklumkan, jumlah pemberhentian pekerja itu jauh lebih kecil berbanding syarikat-syarikat an­tarabangsa yang telah me­la­kukan pemberhentian pekerja se­ca­ra besar-besaran ekoran ke­ti­dak­tentuan industri minyak dan gas di peringkat global.

Beliau berkata, ketika ini terdapat lebihan tenaga kerja dalam beberapa peringkat dan ia tidak setanding dengan apa yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa.

Tengku Muhammad Taufik berkata, rasional untuk penstrukturan ini adalah untuk mengubah semula cara Petronas beroperasi supaya mampu bertahan dan seperti syarikat antarabangsa.

Beliau menegaskan, kakitangan peringkat tinggi akan diberhentikan termasuk pekerja kontrak manakala pekerja baharu tidak terbabit.

Petronas antara banyak syarikat minyak dunia telah mengumumkan pengurangan pekerja terutama disebabkan kejatuhan harga minyak dan persaingan sengit di peringkat global.

Jelasnya, keseluruhan industri minyak dan gas pada masa kini adalah tidak berapa baik.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keputusan Petronas mengurangkan 10 peratus tenaga kerjanya dilihat sebagai langkah komersial yang perlu dalam memastikan daya saing syarikat terus kekal serta sumbangannya kepada pendapatan negara dapat diteruskan.

Menurutnya, langkah tersebut wajar difahami dalam konteks landskap industri minyak dan gas yang semakin mencabar ketika ini.

Katanya, penemuan telaga minyak baharu yang semakin berkurangan serta peningkatan ketara kos operasi melibatkan buruh, peralatan dan pengangkutan turut memberi tekanan terhadap margin keuntungan syarikat minyak dan gas.

“Industri ini telah lama berdepan tekanan margin keuntungan yang semakin mengecil.

“Oleh itu, Petronas tiada pilihan selain mengambil keputusan strategik untuk merombak keperluan tenaga kerja sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Afzanizam berkata, selain pengurangan tenaga kerja, Petronas disarankan melabur secara agresif dalam teknologi yang boleh dimanfaatkan merentas pelbagai sektor organisasi bagi meningkatkan produktiviti dan keuntungan.

“Pelaburan dalam teknologi bukan sahaja dapat mengoptimumkan operasi sedia ada, malah membuka ruang kepada inovasi dan efisiensi lebih tinggi di seluruh rantaian nilai Petronas,” jelasnya.

Bagi pakar ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob pula berpendapat, keputusan yang dibuat Petronas bersifat berhati-hati dan terkawal, mencerminkan komitmen terhadap keseimbangan antara kelangsungan perniagaan dan tanggungjawab sosial korporat.

Beliau berkata, antara langkah strategik jangka panjang yang boleh diambil termasuk melabur dalam tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidrogen dan angin bagi mengurangkan kebergantungan kepada minyak dan gas.

“Selain itu, penerapan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), data besar dan Internet Pelbagai Benda (IoT) juga mampu meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan kos dalam jangka panjang.

“Petronas juga boleh memperkukuh rantaian bekalan global menerusi kerjasama strategik dengan syarikat asing serta memperluas kehadiran di pasaran baharu yang berpotensi.

“Dalam masa sama, pelaburan dalam pembangunan modal insan melalui latihan semula dan peningkatan kemahiran kakitangan penting bagi memastikan keupayaan syarikat mengadaptasi teknologi serta amalan industri terkini,” ujarnya.

Tambahnya, tumpuan terhadap amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang kukuh turut penting dalam menarik keyakinan pelabur serta meningkatkan daya saing Petronas di peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×