KANGAR: Perlis mencipta rekod baharu apabila tiada mana-mana calon gagal dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di negeri ini untuk tempoh lima tahun berturut-turut.
Timbalan Pengarah Pendidikan (Perancangan) negeri, Ahmad Sabri Mohamad berkata, kualiti pencapaian calon yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 di Perlis juga terus menunjukkan peningkatan daripada 16 kepada 20 orang.
Katanya, seramai 195 calon STPM 2024 negeri ini direkodkan meraih PNGK 3.00 ke atas berbanding hanya 184 calon bagi tahun sebelumnya.
“Daripada 411 calon STPM 2024, semuanya layak dianugerahkan sijil di mana syarat untuk mendapatkannya adalah calon semestinya lulus sebahagian iaitu sekurang-kurangnya dalam satu mata pelajaran,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2024 peringkat negeri ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, di sini, hari ini.
Ahmad Sabri berkata, secara keseluruhan, PNGK negeri ini juga menunjukkan perkembangan baik dan mengatasi PNGK Kebangsaan sebanyak 0.02 mata.
Katanya, terdapat enam buah sekolah di negeri ini turut merekodkan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) menerusi peperiksaan STPM 2024 ini.
“Sekolah terlibat adalah SMK Agama (P) Kangar, SMK Syed Alwi, SMK Derma, SMK Tengku Sulaiman, SMK Agama Arau dan SMK Syed Hassan. Berdasarkan keputusan ini, kemungkinan tiada halangan untuk lebih ramai calon lepasan STPM 2024 diterima masuk ke universiti awam berbanding sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Sabri berkata, bilangan calon yang hadir menduduki peperiksaan STPM 2024 juga adalah seramai 411 orang berbanding 395 calon pada tahun sebelumnya.
Katanya, daripada keseluruhan calon hadir dan menduduki peperiksaan STPM 2024 di negeri ini, seramai 406 atau 98.78 peratus calon dari sekolah kerajaan lulus penuh berbanding 389 calon meliputi 98.48 peratus pada tahun sebelumnya.
“Jabatan Pendidikan negeri amat berbangga dengan kejayaan calon-calon pada tahun ini dan bagi pelajar kurang bernasib baik adalah diharap tidak berputus asa dan dapat mencuba lagi,” katanya.-UTUSAN