PETALING JAYA: Selepas dipilih sebagai orang nombor dua PKR, Nurul Izzah Anwar perlu diberi peluang untuk dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri supaya keupayaanya dalam aspek pentadbiran negara teruji.
Penganalisis politik, Prof. Kartini Aboo Talib berkata, walaupun Nurul Izzah dilihat berpotensi menjadi presiden dan mengetuai parti suatu masa nanti namun kemampuan Timbalan Presiden PKR itu masih belum dapat dinilai dalam aspek pentadbiran.
“Daripada segi kelayakan akademik, beliau seorang yang berilmu dan berpendidikan tinggi. Begitu juga pengalaman politik, beliau telah lama bergelar ‘puteri reformasi’ dan berjuang dalam PKR selain pernah menjadi ahli Parlimen Lembah Pantai dan Permatang Pauh.
“Nurul Izzah perlu diberi peluang untuk menjawat jawatan sama ada menteri atau timbalan menteri terlebih dahulu kerana beliau belum ada pengalaman dalam pentadbiran kerajaan sebelum diberi peranan lebih besar pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak bercadang untuk melakukan sebarang rombakan Kabinet buat masa ini susulan peletakan jawatan dua menterinya iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurut Anwar, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang, beliau akan meminta menteri lain untuk mengambil alih sementara jawatan di kedua-dua kementerian berkenaan.
Dalam pada itu, Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, adalah wajar supaya Nurul Izzah diberi ruang membuktikan kemampuannya dalam bidang pentadbiran bagi menentukan hala tuju dasar negara.
“Dengan jawatan menteri khususnya, beliau boleh menentukan dasar-dasar dan mengemudi sebuah kementerian bagi membantu kerajaan perpaduan dengan lebih berkesan,” jelasnya.-UTUSAN.










