Kedah rekod RM4.2 bilion pelaburan setakat suku pertama 2025

Kedah rekod RM4.2 bilion pelaburan setakat suku pertama 2025

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor menyampaikan ucapan pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak RM4.2 bilion jumlah pelaburan direkodkan Kedah untuk tempoh suku pertama tahun ini yang berpotensi menjana lebih 1,400 peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sektor pembuatan mencatatkan nilai pelaburan terbesar iaitu sebanyak RM3.9 bilion yang merupakan ketiga tertinggi di Malaysia bagi tempoh sama.

Katanya, sektor pembuatan bernilai tinggi dijangka terus berkembang kukuh meskipun dunia kini dihimpit dengan ketidaktentuan politik dan ekonomi yang agak meruncing.

“Keupayaan ini turut dipacu oleh pembangunan Fasa 4A dan Fasa 5 Kulim Hi-Tech Park, Kulim Industrial Corridor (KIC) serta kawasan perindustrian baharu seperti Kedah Rubber City (KRC) dan Kedah Science Technology Park (KSTP).

“Kesediaan pelabur datang ke Kedah merupakan manifestasi kepada kestabilan, ketelusan dan keberkesanan dasar kerajaan negeri,” katanya pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, pembangunan Koridor Bandar Sempadan mula menunjukkan perkembangan positif menerusi pembukaan hab logistik (ICD) di Delapan Pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam.

Jelasnya, perkembangan hab itu berupaya menarik masuk aliran trafik kontena tambahan yang dianggarkan berjumlah 240,000 TEU dari selatan Thailand dan bakal menyumbang sehingga RM843 juta setahun kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah.

“Pembangunan bandar sempadan ini dilengkapkan lagi dengan pembinaan jalan menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sadao, Thailand yang dijangka siap pada September ini.

“Prasarana strategik ini diyakini mampu meningkatkan lagi nilai dagangan dua hala Malaysia–Thailand daripada RM117 bilion pada 2023 kepada RM141 bilion menjelang 2027, sebagaimana yang disasarkan, sekali gus memanfaatkan Kedah menerusi aktiviti ekonomi rentas sempadan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, melalui usaha promosi yang digerakkan secara berterusan bersempena Tahun Melawat Kedah 2025, sebanyak 1.5 juta pelancong ke Kedah dicatatkan pada suku pertama tahun ini.

“Patik penuh yakin sasaran tujuh juta pelancong dapat dicapai menerusi 170 program yang dirangka dalam Kalendar Acara Tahun Melawat Kedah 2025, termasuk 45 acara utama yang turut diserikan dengan elemen sukan, gastronomi, teknologi dan rohani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN