KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberi peringatan agar tiada pihak yang menunggang agama untuk kepentingan politik dan menabur kebencian hingga memecah-belahkan masyarakat.
Baginda turut mengingatkan para pemimpin masyarakat supaya tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi, tetapi mengislamkan politik demi kepentingan negara.
Titah baginda, pemimpin wajar mengislamkan politik iaitu menegakkan nilai Islam dalam tatakelola, dasar dan tindakan bagi menjamin kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara.
“Oleh itu, janganlah ada pihak yang menunggang agama untuk kepentingan parti politik mereka, atau sebabkan fitnah dan kebencian yang akan memecah-belahkan masyarakat,” titah baginda sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M di sini, semalam.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan kebimbangan terhadap wujudnya pihak yang menyalahgunakan pentas dakwah dan medan pengajaran Islam untuk menyampaikan agenda politik parti.
“Sejak dahulu lagi saya tegaskan, pentas dakwah dan medan pengajaran agama Islam tidak wajar dijadikan tempat untuk agenda parti politik.
“Marilah kita menjaga kesucian agama Islam dan membentuk penyatuan ummah yang harmoni,” titah baginda.
Sehubungan itu, Sultan Ibrahim menyeru agar semua pihak kembali menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Semua pihak mestilah menghormati Perlembagaan dan tidak menghidupkan api permusuhan atas nama kaum atau agama yang boleh menggugat keamanan negara.
“Nilai-nilai seperti keadilan, kuasa yang amanah, tanggungjawab dan permuafakatan adalah tunjang utama yang telah membentuk kestabilan negara sejak merdeka,” titah Baginda.
Seri Paduka turut menegaskan, tadbir urus negara mestilah berpaksikan syariat Islam dan bukannya berlandaskan fahaman sekular atau liberal yang menyimpang daripada prinsip Islam sebenar.
Titah Baginda, Islam adalah agama yang lengkap dan menyeluruh, meliputi setiap aspek kehidupan manusia termasuk pemerintahan dan pentadbiran negara.
“Urus tadbir kerajaan mestilah mengikut landasan syariat Islam, bukannya mengikut fahaman sekular atau liberal.
“Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia,” titah Baginda.
Baginda turut menyeru anggota pentadbiran dan kepimpinan negara menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik dalam urus tadbir yang berasaskan keadilan, hikmah dan belas ihsan terhadap rakyat.
Sementara itu, bekas Mufti Johor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr. Nooh Gadut diumumkan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M.
Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah pula diumumkan Tokoh Ma’al Hijrah Antarabangsa. – UTUSAN










