Indonesia kurangkan bajet program makanan percuma

Indonesia kurangkan bajet program makanan percuma

PELAJAR menikmati makan tengah hari pada hari pertama pelaksanaan program makanan percuma di Sekolah Menengah Atas Negeri 11, Jakarta Timur.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia mengurangkan rancangan perbelanjaan program makanan percuma kepada golongan pelajar yang masih berpotensi menjadi kedua termahal di dunia.

Keputusan itu dilaporkan memberi sedikit kelegaan terhadap tekanan fiskal dan unjuran defisit ketika Presiden, Prabowo Subianto meneruskan pelbagai projek mega yang menelan kos tinggi.

Menurut Ketua Agensi Pemakanan Kebangsaan yang baru ditubuhkan, Dadan Hindayana, perbelanjaan yang dirancang untuk melaksanakan program menyasarkan sekitar 83 juta penerima itu kini dianggarkan sebanyak 350 trilion rupiah (RM88 bilion) pada tahun hadapan.

Katanya, jumlah tu diperoleh selepas pegawai membuat kemas kini dengan menurunkan sekitar satu pertiga anggaran kos bahan mentah, menandakan pengurangan sebanyak 22 peratus daripada pelan perbelanjaan awal tahun ini.

Program makanan percuma Indonesia ini berpotensi menjadi kedua paling mahal di dunia selepas Amerika Syarikat (AS), yang membelanjakan AS$29.4 bilion (RM124 bilion) untuk makanan sekolah pada tahun kewangan yang berakhir pada 2023, menurut Yayasan Pemakanan Kanak-Kanak Global yang berpangkalan di Seattle.

“Antara cabaran utama program ini ialah memastikan bekalan makanan mencukupi, memandangkan program ini memperoleh telur, ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan secara tempatan,” kata Dadan.

Dadan menegaskan, pihak berkuasa masih berusaha untuk melancarkan program ini kepada semua 83 juta penerima menjelang hujung tahun, meskipun ia memerlukan peningkatan 16 kali ganda daripada jumlah semasa seramai lima juta penerima.

Setakat ini, usaha tersebut berdepan cabaran seperti insiden keracunan makanan dan isu logistik, memandangkan Indonesia terdiri daripada lebih 17,000 pulau.

Sebagai langkah mempercepat pelaksanaan, kerajaan akan menempatkan sekitar 30,000 graduan universiti untuk mengurus unit dapur komuniti yang terlibat dalam program tersebut.

Penganalisis di Nomura Holdings Inc. minggu lalu mengulangi unjuran Indonesia bakal mencatat defisit fiskal sebanyak 2.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, hampir mencecah had undang-undang negara iaitu 3.0 peratus.

Mereka menyatakan pertumbuhan ekonomi lemah, harga komoditi rendah serta rancangan mempercepatkan perbelanjaan pada separuh kedua tahun ini termasuk untuk program makanan percuma, menjadi faktor penyumbang.

Prabowo mengakui program makanan percuma itu berdepan pelbagai cabaran, namun beliau menggambarkannya sebagai satu pelaburan jangka panjang untuk masa depan Indonesia.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN