PUTRAJAYA: “Saya mungkin nampak kuat tetapi hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang saya dan keluarga lalui.”
Demikian kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bersyukur dan lega selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam membebaskan beliau daripada empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
“Saya perlukan sedikit masa untuk bersama keluarga, selepas lima tahun yang mencabar ini,” tambahnya.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, keputusannya berhadapan kes tersebut di mahkamah adalah atas kepercayaan dan yakin beliau di pihak yang benar dan Allah akan membuka jalan.
“Saya tahu saya berhak tetapi lima tahun ini sangat mencabar. Ada pihak cuba calar integriti saya. Ibu saya sampai ‘relaps’ kanser kerana tekanan.
“Saya tolak jalan mudah termasuk ditawar sogokan supaya tunduk kerana saya yakin hanya mahkamah mampu bersihkan nama saya.
“Saya sayang negara ini lebih dari kehidupan saya. Saya tidak berdendam walau terhadap musuh politik sendiri. Saya tidak mahu mereka lalui apa yang saya lalui,” katanya di sidang akhbar di sini semalam.
Dengan keputusan mahkamah itu, Syed Saddiq berterima kasih kepada kedua ibu bapanya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah kerana sentiasa ada bermula hari pertama beliau dituduh hingga hari bersejarah semalam.
Selain itu, Syed Saddiq turut berterima kasih kepada barisan hakim, peguam serta seluruh rakyat Malaysia yang tidak berhenti mendoakan kejayaan dirinya.
“Kadang-kadang saya pun tidak tahu. Saya terhutang budi dan akan terus melangkah ke hadapan dan kembali bekerja dan berkhidmat kepada rakyat. Saya akan kekal mengabdikan diri kepada Malaysia, negara tercinta,” katanya.
Keputusan sebulat suara membebaskan Syed Saddiq itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Dalam penghakiman, panel mendapati sabitan yang dikenakan terhadap Syed Saddiq oleh Mahkamah Tinggi terhadap keempat-empat pertuduhan tidak selamat selain mahkamah terdahulu tersalah arah dalam mensabitkan hukuman itu.
Dalam pada itu, Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim turut menegur pihak pendakwaan sebelum mengakhiri prosiding pendengaran keputusan rayuan itu.
Katanya, beliau terpaksa memberikan pandangan tersebut bagi mengelakkan salah tanggapan atau fitnah terhadap Mahkamah.
“Sewaktu hujahan balas oleh pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya mengingatkan mahkamah ini agar tidak terpengaruh dengan pandangan warga maya di media sosial dan sebagainya.
“Kami mendapati kenyataan atau hujahan tersebut, secara berlapik, sedikit nakal dan sesuatu yang tidak perlu apabila (pendakwa raya) mengetahui bahawa mahkamah ini tidak akan melangkaui atau tersasar daripada apa yang telah dinyatakan dalam rekod rayuan.
“Dalam kes ini, keputusan yang kami buat adalah semata-mata berdasarkan apa yang ada dalam rekod rayuan. Kami tidak pernah mempertimbangkan sebarang pandangan yang dibuat di luar rekod rayuan.
“Saya perlu menyatakan sedemikian agar perkara sama tidak ditimbulkan kerana ia (boleh) timbulkan fitnah di (kalangan) mereka yang tidak tahu hal (cara) mahkamah membuat keputusan,” kata hakim itu.
Selepas membuat teguran tersebut, Hakim Ahmad Zaidi memerintahkan agar wang jamin RM330,000 yang dibayar sebelum ini dipulangkan semula kepada penjamin.
Sementara itu, laungan takbir bergema di pekarangan Istana Kehakiman selepas keputusan pembebasan itu.
Detik penuh emosi itu turut menyaksikan Syed Saddiq bersama ibu dan bapanya tunduk sujud syukur di lantai mahkamah, diiringi tangisan kegembiraan.
Turut bersama mereka beberapa ahli keluarga serta rakan terdekat yang hadir memberi sokongan sejak awal pagi tadi lagi. – UTUSAN










