DOF P. Pinang hanya periksa setahun sekali

DOF P. Pinang hanya periksa setahun sekali

KERATAN akhbar laporan Mingguan Malaysia semalam mengenai nasib nelayan kecil yang terjejas akibat pencerobohan bot tunda ,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati Jabatan Perikanan (DOF) di Pulau Pinang gagal melakukan tugas pe­nguatkuasaan sewajarnya da­lam mengambil tindakan terhadap pencerobohan bot-bot pukat tunda.

Perkara itu hasil siasatan berhubung aduan terhadap DOF Pulau Pinang melibatkan isu kegagalan dalam mengambil tindakan terhadap pencerobohan bot-bot pukat tunda Zon B ke Zon A.

Menurut EAIC, lawatan dan pemeriksaan ke pangkalan pe­nguatkuasaan DOF Pulau Pinang di Batu Maung hanya dilaksanakan sekali dalam tempoh setahun.

Katanya, DOF Pulau pinang gagal melakukan pemantauan sewajarnya terhadap pegawai atau anggota penguat kuasa di bawah seliaannya dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan.

“Pengurusan DOF Pulau Pinang juga didapati tidak peka terhadap tugasan harian penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh pegawai atau anggota bawahan serta kekangan-keka­ngan yang dihadapi oleh pegawai di pangkalan tersebut.

“DOF Pulau Pinang juga gagal memastikan butiran Buku-Buku Log Penguatkuasaan direkodkan dengan lengkap dan teratur oleh pegawai yang bertanggungjawab,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sehubungan itu, EAIC memutuskan merujuk hasil siasatan melibatkan isu itu kepada ketua jabatan DOF.

Dalam hal ini, EAIC mencadangkan surat teguran diberi kepada pihak pengurusan ter­tinggi DOF Pulau Pinang yang terlibat atas kegagalan melaksanakan pemantauan secara berkesan.

“Syor hukuman tatatertib terhadap pegawai yang gagal memastikan butiran Buku Buku Log Penguatkuasaan direkodkan dengan teratur. SOP aduan/siasatan/operasi DOF perlu ditambah baik mengenai aduan-aduan yang menyertakan rakaman video sebagai bukti,” katanya.

Pada masa sama, EAIC me­nyarankan pelaksanaan kursus, latihan atau kursus penambahbaikan secara menyeluruh kepada DOF Pulau Pinang.

Ini meliputi aspek pemahaman dan pematuhan terhadap SOP, Garis Panduan, Dasar, Arahan Tetap serta prosedur berkaitan tatacara penguatkuasaan, operasi dan pelesenan DOF.

Mingguan Malaysia semalam mendedahkan, kira-kira 102,746 nelayan pantai yang memiliki 48,440 sampan dan bot kecil berdepan risiko ancaman nyawa setiap hari, berikutan kes pencerobohan bot pukat tunda terus berlaku tanpa ada tindakan penyelesaian konkrit.

Mengikut peraturan, bot pukat tunda tidak boleh memasuki Zon A (kawasan kurang lima batu nautika dari pesisir pantai) termasuk bot nelayan dari negeri lain juga tidak boleh menceroboh sempadan negeri masing-masing.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Mohd. Faizal Mohd. Zabri, kegiatan pencerobohan ini semakin berleluasa seolah-olah tidak ada penguatkuasaan dilakukan atau pihak berkuasa hanya menutup mata bagi kesalahan yang dilakukan.

Katanya, pihak berkuasa perlu melakukan siasatan atas setiap aduan dan mengambil tindakan mengikut undang-undang ditetapkan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×