Covid-19: Thailand 'diserang' varian Nimbus, 31 kematian dalam seminggu

Covid-19: Thailand ‘diserang’ varian Nimbus, 31 kematian dalam seminggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Thailand kini berdepan gelombang baharu Covid-19 yang semakin membimbangkan, dengan lebih 111,000 jangkitan baharu dan 31 kematian direkodkan dalam tempoh seminggu.

Pakar kesihatan dari Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn, Prof Madya Dr Thira Woratanarat mendedahkan di Facebook bahawa Covid-19 kini menjadi penyakit paling kerap dilaporkan di bawah pengawasan rasmi.

“Lonjakan ini tidak boleh dipandang ringan. Jumlah kematian berkaitan Covid kini tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kematian akibat influenza,” katanya.

Beliau turut mendedahkan lebih 400,000 orang mendapatkan rawatan akibat wabak itu sejak awal tahun, tidak termasuk mereka yang tidak pernah ke hospital.

Dr Thira menggesa mereka yang dijangkiti untuk tidak hadir ke sekolah atau tempat kerja bagi mengelakkan penularan.

Peningkatan mendadak kes dikaitkan dengan beberapa faktor, termasuk kemunculan varian NB.1.8.1 yang mudah berjangkit, dikenali sebagai Nimbus, penurunan imuniti penduduk, langkah pencegahan yang longgar serta populasi warga emas yang besar di Thailand.

Beliau turut menolak tanggapan umum bahawa Covid kini ‘hanya seperti selesema’, dengan menegaskan sikap sambil lewa seperti itu menyumbang kepada kebangkitan semula virus tersebut.

“Covid masih merupakan ancaman yang serius.

“Sekolah, universiti, pejabat, pusat hiburan, pusat jagaan kanak-kanak, rumah warga emas dan penjara amat terdedah kepada kluster jangkitan,” katanya seperti dilapor Bangkok Post.

Dr Thira turut menasihatkan orang ramai supaya mengasingkan diri jika tidak sihat, mengelak daripada berhubung rapat dengan individu bergejala dan mendapatkan rawatan perubatan jika perlu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN