GEORGE TOWN: Kementerian Pengangkutan meneliti beberapa cadangan meningkatkan keselamatan jalan raya termasuk penggunaan teknologi pengehad kelajuan dan mewajibkan pemasangan kamera video di kenderaan berat serta mandatori pemakaian tali pinggang keledar dalam bas ekspres.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu antara perhalusi pihaknya bagi memastikan pematuhan mandatori oleh kenderaan berat dalam usaha memperkukuhkan keselamatan jalan raya susulan nahas bas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kelmarin.
“Kenderaan berat pada masa ini memang dilengkapi dengan pengehad kelajuan, namun peranti itu sering diubah suai sehingga tidak lagi berfungsi untuk mengawal kelajuan.
Berita berkaitan:
“Peranti ini perlu dipasang pada kenderaan berat bagi mengelakkan mereka memandu melebihi had laju. Tetapi, apa yang berlaku ialah, peranti itu sering diubah suai.
“Ini cabaran yang perlu kita tangani dalam memastikan pematuhan oleh syarikat-syarikat yang mengendalikan kenderaan berat termasuk lori dan bas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program CruiseWorld Malaysia 2025 di sini semalam.
Ditanya mengenai kemungkinan mewajibkan penggunaan kamera video dalam kenderaan berat, beliau berkata, perkara itu juga sedang diteliti oleh pihak kementerian ketika ini.
“Kamera video belum diwajibkan buat masa ini. Tetapi, kita perlu meneliti penggunaannya bagi meningkatkan tahap keselamatan,” katanya.
Anthony Loke memberitahu, semua bas baharu yang dibina mulai tahun 2020 dan ke atas telah diwajibkan untuk dilengkapi dengan tali pinggang keledar bagi semua penumpang.
“Namun, dalam kejadian nahas di Lebuhraya Timur-Barat itu, kita dapati bas berkenaan dibina pada tahun 2013. Jadi, ia telah berusia 12 tahun dan sememangnya tidak mempunyai tali pinggang keledar,” ujar beliau.
Anthony Loke berkata, cabaran utama pihaknya ketika ini ialah untuk memastikan penumpang bas memakai tali pinggang keledar dan dalam hal ini, MOT akan turut meneliti beberapa kaedah lain untuk memastikan pematuhan pemakaian berlaku termasuk memasang penderia seperti dalam kereta.
Berhubung isu keselamatan serta penambahbaikan infrastruktur jalan di laluan Timur-Barat yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan, Anthony Loke membawa perkara itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Kata beliau, kementeriannya memandang serius kejadian kemalangan membabitkan sebuah bas yang mengorbankan sehingga 15 nyawa semalam dan menegaskan perlunya tindakan segera diambil bagi meningkatkan keselamatan di laluan berkenaan.-UTUSAN











