Ahmad Zahid yakin MCA kekal bersama BN

Ahmad Zahid yakin MCA kekal bersama BN

AHMAD Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Port Dickson 2025 hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Parti MCA akan tetap bersama Barisan Nasional (BN) dan setiap parti komponen juga akan terus diberikan tempat untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketetapan itu sudah diambil walaupun pilihan raya masih lama lagi.

“Saya akan diberitahu sendiri oleh presiden parti (Datuk Seri Wee Ka Siong). Mungkin ada gerakan yang dilakukan, saya pun dikabarkan begitu tetapi keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) mereka (MCA) tidak begitu.

“Insya-Allah mereka tetap bersama dengan kita,” katanya pada sidang akhbar elepas menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Port Dickson di sini, hari ini.

Beliau mengulas susulan desas-desus mesyuarat peringkat bahagian MCA bermula 1 Jun lalu bagi membuat keputusan sama ada parti itu akan kekal di dalam BN atau sebaliknya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dalam pada itu berkata, ketika UMNO berpecah kepada ‘dua pasukan’ pada tahun 1987, namun parti komponen BN yang lain terus menjadi pemangkin kepada kewujudan BN. 

“Ketika ini pada iaitu PRU Ke-14 dan ke-15 yang lalu, mereka (MCA dan MIC) mengalami permasalahan kerana mereka tidak dapat mengekalkan kerusi yang ada.

“Jadi pada kami, UMNO mesti menjaga rakan-rakan kami jika mereka ada masalah. Ini adalah semangat BN yang harus kami kumpulkan dan saya yakin rakan-rakan kami akan terus bersama-sama dengan gagasan BN ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu ketika berucap berkata, UMNO dan BN akan bangkit semula dalam PRU akan datang kerana yakin lumrah dalam politik terdapat ‘putaran hayat’.

“Alhamdulillah kita naik semula sekarang ini. Kita tinggal 26 kerusi Parlimen, kita ada empat kerusi rakan-rakan dalam BN. Jangan pernah tinggalkan kawan-kawan kita.

“Dulu kita ada 14 parti, sekarang ada empat parti. Empat ini yang taat setia dengan BN. MCA, MIC jangan cuba-cuba lah kawan dengan orang baharu,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri itu berkata,  penganjuran Himpunan Turun Anwar yang bakal menggantikan himpunan membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) pada 26 Julai ini oleh Pemuda PAS tidak akan mampu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Mereka pernah menebuk atap dahulu dan mereka akan melakukan buat kesekian kalinya. Insya-Allah, kerajaan yang ada (sekarang) tidak akan jatuh hanya kerana adanya demonstrasi dibuat oleh Pemuda Pas itu,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN