Warisan sanggup ambil risiko kurangkan kerusi akibat bertanding secara solo

Warisan sanggup ambil risiko kurangkan kerusi akibat bertanding secara solo

MOHD. AZIZ JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Warisan Rakyat Sabah (Warisan) sanggup mengambil risiko terutama kemungkinan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi mengecil kerana memilih bergerak secara bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang dijangka berlangsung tahun ini.

Kebarangkalian itu melihat kepada duluan yang menyaksikan sembilan kerusi Warisan pernah menang, namun menyusut kepada tiga kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akibat mengambil strategi sama.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, keadaan tersebut tidak harus dijadikan sebagai preseden kerana sentimen rakyat ketika itu berbeza yang mahu perubahan di peringkat Persekutuan.

Bekas Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, ketika itu, partinya mengharapkan berlaku gelombang seperti ‘gelombang merah’ atau ‘gelombang hijau’ dan memperkenal idea blok Borneo, namun, rakyat Sabah masih belum bersedia.

“Sudah tentu kami sedar risikonya. Namun, perlu diingat, kali ini kita bercakap tentang PRN di Sabah dan situasinya jauh berbeza.

“Kami sedar risiko ini tetapi kami sanggup hadapi. Kini, sentimen kenegerian semakin mengukuh dan Warisan parti paling konsisten memperjuang isu-isu tempatan.

“Namun, tidak mengapa, dalam perjuangan ini, kami sudah lama menunjukkan pendirian konsisten. Warisan sentiasa berpegang pada prinsip bergerak secara sendiri dan ini bukan keputusan baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada November 2022, hasrat Warisan menguasai sebahagian besar daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah selain satu di Labuan dan 26 kerusi lagi di Semenanjung tidak kesampaian apabila hanya menang tiga kerusi pada PRU15.

Tiga kerusi berkenaan ialah Semporna dipertahan Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kerusi Parlimen Lahad Datu dimenangi adiknya, Datuk Mohd. Yusof Apdal dan kerusi Parlimen Kota Belud dipertahan Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis.

Warisan hilang empat kerusi iaitu Penampang, Sepanggar, Papar dan Kalabakan selain gagal memenangi semula kerusi Parlimen Batu Sapi yang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, mendiang Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober 2020.

Ketika PRU14, Warisan menang lapan kerusi Parlimen di Sabah iaitu Semporna, Lahad Datu, Kalabakan, Papar, Penampang, Sepanggar, Kota Belud dan Batu Sapi.

Kerusi Parlimen parti itu kemudian bertambah kepada sembilan sberikutan penyertaan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli ke dalam parti itu, namun beliau gagal mempertahan kerusi berkenaan apabila tewas di tangan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Suhaili Abdul Rahman pada PRU15.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN