PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan ahli keluarga tokoh korporat bergelar Tan Sri bagi membantu siasatan pengubahan wang haram membabitkan pemilikan saham Sapura Energy Berhad (SEB) bernilai lebih RM500 juta.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, selain itu keterangan bekas ahli lembaga pengarah SEB yang dikaitkan dengannya juga akan dirakam bagi membantu siasatan.
“Tan Sri berkenaan telah hadir ke SPRM semalam (kelmarin) untuk rakam keterangan lebih lanjut,” katanya semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan siasatan SPRM terhadap tokoh korporat itu turut tertumpu kepada unsur rasuah bernilai jutaan ringgit melibatkan beberapa syarikat berpangkalan di luar negara.
Lapor akhbar ini, SPRM sedang dalam usaha mendapatkan keterangan dan dokumen penting yang dipercayai berada di Singapura, Belanda dan Brazil.
Kerjasama dengan agensi penguat kuasa negara-negara tersebut sedang giat dijalankan bagi melengkapkan siasatan menyeluruh.
Terdahulu, sebanyak 83 akaun bank dibeku melibatkan lima individu dan 15 syarikat, dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM158.26 juta.
Siasatan SPRM terhadap tokoh korporat itu menjurus kepada isu ganjaran seperti gaji, bonus dan saham yang diterima secara meragukan, termasuk juga yuran penjenamaan (branding fee) dan penempatan persendirian (private placement).
Difahamkan, kesalahan yang disiasat melibatkan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkait salah guna kuasa.
Pada masa sama, siasatan turut menyentuh unsur pecah amanah, pemalsuan dokumen dan salah guna dana di bawah peruntukan Kanun Keseksaan.
Laporan media sebelum ini mendedahkan, seorang tokoh korporat bergelar Tan Sri sedang disiasat SPRM kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berkaitan pemilikan saham SEB bernilai lebih RM500 juta.
Individu tersebut telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 5 dan 6 Mei lalu untuk dirakam keterangan, namun belum ada tangkapan dibuat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya pada Mac lalu berkata, kerajaan telah memulakan audit forensik ke atas SEB melalui pelantikan firma audit antarabangsa, Ernst & Young bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam penstrukturan semula syarikat tersebut.
Menurut Anwar, suntikan modal berjumlah RM1.1 bilion kepada SEB bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya merupakan pinjaman yang perlu dibayar semula. – UTUSAN










