Serah semula MyKiosk jika tidak mahu berniaga

Serah semula MyKiosk jika tidak mahu berniaga

MYKIOSK berdekatan Stadium Darul Aman yang sudah diagihkan kepada peniaga di Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah akan mengambil balik unit MyKiosk yang mana pemiliknya tidak menjalankan perniagaan selama tiga bulan untuk diserahkan kepada mereka yang layak.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, kerajaan negeri mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bertindak tegas dalam isu berkenaan supaya MyKiosk dapat digunakan sepenuhnya.

“Tempoh diberikan cuma tiga bulan. Mana-mana peniaga yang membiarkan unit MyKiosk mereka terbiar tanpa menjalankan perniagaan akan ditarik balik. PBT kena pantau, mereka yang tidak mahu berniaga serah balik, kami beri kepada orang lain.

“Terdapat sejumlah 278 unit MyKiosk di seluruh negeri ini dan saya dimaklumkan hampir kesemua unit sudah penuh setelah diberikan kepada peniaga yang layak selepas mereka ditemuduga oleh PBT di daerah masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, kemudahan MyKiosk tersebut disediakan untuk menjana pendapatan penduduk negeri ini di lokasi strategik.

“Ia dilihat sebagai satu penempatan gerai peniaga yang le­bih tersusun seperti di Alor Setar kita letakkan secara berkelompok contohnya berdekatan dengan Stadium Darul Aman, Mergong dan Simpang Empat,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah, Baharudin Mohd. Ali mencadangkan agar penempatan MyKiosk berkenaan dikaji semula memandangkan kawasan tersebut dilihat tidak bersesuai­an.

“Kebanyakan daripada pe­niaga di bawah gabungan tidak berminat untuk berniaga di My­Kiosk ini kerana kedudukannya di lokasi yang tidak berapa strategik seperti di Stadium Darul Aman, ia terletak bersebelahan kedai makan yang sudah lama beroperasi jadi tentu terpaksa bersaing.

“Kalau boleh letaklah My­Kiosk ini di lokasi peniaga atau penjaja di jalanan yang sedia ada sekarang supaya mereka boleh naik taraf perniagaan mereka,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×