CALIFORNIA: Sebuah bom meletup berhampiran sebuah pusat kesihatan reproduktif di Palm Springs, California mengakibatkan seorang terbunuh, menurut Datuk Bandar Ron deHarte, pada Sabtu.
Menurut deHarte, bom berkenaan dipercayai berada di dalam atau berhampiran sebuah kereta yang diletakkan di luar klinik tersebut ketika ia meletup.
Ketua Jabatan Bomba Palm Springs, Paul Alvarado berkata, setakat ini tiada suspek dikenal pasti.
Pihak berkuasa masih belum memberikan sebarang komen mengenai kemungkinan motif serangan itu dan deHarte juga tidak dapat mengesahkan sama ada mangsa yang terbunuh merupakan suspek.
“Insiden ini kelihatan seperti satu tindakan keganasan yang disengajakan,” katanya.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Los Angeles menerusi satu hantaran di media sosial mengesahkan siasatan sedang dijalankan dan pakar pemusnah bom telah dihantar ke lokasi kejadian.
ABC News, yang memetik sumber penguatkuasaan undang-undang serta pihak pengurusan fasiliti berkenaan, American Reproductive Centers (ARC) melaporkan sekurang-kurangnya lima orang cedera akibat letupan yang berlaku sebelum jam 11 pagi (waktu Pasifik) tersebut.
Gambar yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan bangunan setingkat yang menempatkan klinik itu mengalami kerosakan teruk.
Letupan tersebut dilaporkan menyebabkan dinding bangunan berlubang besar dengan serpihan berselerakan ke jalan raya manakala sebahagian jubin di bumbung musnah.
Alvarado turut memaklumkan beberapa bangunan lain di sekitar kawasan tersebut turut mengalami kerosakan dan ada yang rosak teruk.
ARC yang mempunyai cawangan di sekurang-kurangnya tiga bandar di California menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk persenyawaan in-vitro (IVF), ujian genetik, serta pendermaan telur secara dalaman.
Walaupun bangunan klinik mengalami kerosakan, ARC memaklumkan bahawa fasiliti mereka akan kembali beroperasi sepenuhnya pada Isnin.
Menerusi satu hantaran di Facebook, pihak klinik mengesahkan bahawa makmal mereka termasuk semua telur, embrio dan bahan reproduktif berada dalam keadaan selamat dan semua kakitangan tidak mengalami sebarang kecederaan.- AGENSI










