SABAK BERNAM: Kerajaan Selangor menjangkakan kos sehingga RM1 bilion bagi menaik taraf palung atau saluran termasuk pembinaan kolam takungan bagi meningkatkan aliran air di lebih 19,500 hektar sawah padi dari Tanjong Karang ke Sungai Besar.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, kos tersebut dijangka selepas pihaknya mengenal pasti lebih 80 hektar tanah bagi pembinaan kolam takungan tambahan serta saluran baharu.
Menurutnya, kos tersebut meningkat berbanding RM500 juta hingga RM600 juta sebelum ini selain ia perlu dilakukan bagi meningkatkan hasil padi di kawasan Barat Laut dan dijangkakan siap dalam tempoh tiga tahun.
“Ia akan dibuat (permohonan) kepada kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Ia akan melibatkan keseluruhan lebih 9,000 pesawah di seluruh negeri ini.
“Ini kerana bekalan air ke sawah padi di kawasan berkenaan ketika ini tidak mencukupi. Sebab itu kita hendak teruskan (penambahbaikan) untuk mendapatkan bekalan dari mana-mana tempat (kolam takungan),” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra dan Kesyukuran bersama Pesawah Sungai Leman dan Pelancaran Teknologi Briar & Behn Meyer’s Advance & Sustainable Series for Excellence (BASE), hari ini.
Tambahnya, penambahbaikan itu juga sejajar dengan sasaran bagi melaksanakan kaedah penanaman padi lima musim, dua tahun yang memerlukan bekalan air mencukupi.
Terdahulu, pada majlis tersebut, Izham turut memaklumkan cadangan pemberian insentif khas kepada pesawah yang berjaya menambah hasil padi bermula daripada tujuh tan metrik ke atas sebagai galakan bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan.
“Di bawah kerajaan negeri adalah insentif bagi mereka yang mencapai 7 tan ke atas. Bermakna kita akan berikan tambahan RM100 bagi setiap tan yang diperolehi (selepas tujuh tan). Saya akan bawa cadangan ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk pertimbangan.
“Untuk tingkatkan hasil padi bukan sahaja baja, kena tengok pada benih, pengurusan jentera mekanisasi yang betul. Macam mesin, kalau kita tukar daripada mesin besar kepada yang lebih kecil dapat kurangkan jumlah padi yang jatuh ke tanah,” ujarnya. – UTUSAN