Rampasan ubat tidak sah meningkat, suplemen antara tertinggi

Rampasan ubat tidak sah meningkat, suplemen antara tertinggi

Ubat tak sah
DZULKEFLY Ahmad merasmikan program kembara TOBaTS Zon Tengah, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Sebanyak 21,571 ubat-ubatan termasuk suplemen merupakan antara produk tidak berdaftar tertinggi berjumlah RM37.5 juta yang dirampas Kementerian Kesihatan sepanjang tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia meningkat sebanyak sebanyak lapan peratus berbanding 20,157 produk ubat-ubatan, kosmetik dan bahan mentah bernilai hampir RM24.8 juta dirampas pada 2023.

“Daripada jumlah itu, rampasan melibatkan sebanyak 17,630 produk ubatan termasuk suplemen manakala 3,941 lagi adalah kosmetik.

“Keadaan itu jelas menunjukkan peningkatan yang amat membimbangkan dan pihak berkuasa sedang bersungguh menanganinya ketika ini,” katanya selepas merasmikan program Kembara Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) Zon Tengah, hari ini.

Jelas Dzulkefly, negara berdepan ancaman serius akibat pengedaran ubat-ubatan sedemikian kerana ia boleh merosakkan organ utama seperti hati, buah pinggang dan sistem saraf dalam jangka masa panjang.

“Ramai masyarakat terpedaya kerana ubat tidak sah itu turut dijual secara terbuka dengan mempunyai hologram namun hakikatnya palsu. Ia sama ada penjualan menerusi secara dalam talian dan fizikal yang kandungannya tidak dipastikan selamat kepada pengguna,” ujarnya.

Malah katanya, lima kategori ubatan tidak sah dikenal pasti itu meliputi ubat tiruan, tidak berdaftar, mengandungi racun berjadual, diimport secara haram dan dihasilkan tanpa pematuhan piawaian pengilangan.

“Kementerian sedang menggempur penjualan ubat tidak sah itu menerusi gabungan strategi pendidikan dan tindakan penguatkuasaan. Kerajaan saban tahun terpaksa menanggung beban tinggi bagi merawat komplikasi akibat ubatan tersebut,” katanya.

Justeru, Dzulkefly menyeru orang ramai sentiasa menyemak kesahihan produk kesihatan sebelum membuat pembelian terutama dalam talian.

“Kita perlu memastikan setiap produk mempunyai nombor pendaftaran ‘MAL’ dan pelekat keselamatan Hologram Farma Tag menerusi laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di www.npra.gov.my atau aplikasi FarmaChecker.

“Selain itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan produk kesihatan meragukan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) atau hubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di talian 03-78413200,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya