KUALA LANGAT: Dua bersahabat maut dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggangi mereka bergesel dekat Kilometer (KM) 2.5 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah Banting, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.50 pagi apabila penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna merah bergesel dengan Yamaha 135LC berwarna putih.
“Siasatan awal mendapati motosikal berwarna merah dipercayai mengubah laluan dari lorong kanan ke lorong kiri lalu bergesel dengan motosikal berwarna putih yang turut mengubah laluan dari lorong kecemasan ke lorong kiri.
“Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua mangsa berusia 20-an terjatuh di lorong kecemasan dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Banting akibat kecederaan di bahagian kepala,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, ketika kejadian, penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC itu di dapati tidak mempunyai lesen memandu, namun kedua-dua mangsa memakai topi keledar.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saksi bebas yang melihat kemalangan hadir memberi keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
”Orang ramai yang melihat kejadian serta mempunyai maklumat mengenai kemalangan boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-31872222,” ujarnya. – UTUSAN










