SHAH ALAM: Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan bersubahat dengan seorang ahli perniagaan, Amar Asuat Abu Bakar menerima rasuah berjumlah RM400,000 pada Jun 2020.
Suapan tersebut adalah berkaitan projek usaha sama ternakan lembu pedaging secara fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro di Kubang Pasu, Kedah daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).
Tertuduh membuat pengakuan demikian selepas mendengar satu pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Malah, ahli perniagaan, Ammar Assuat Abu Bakar dalam prosiding berasingan di mahkamah sama turut menyatakan pengakuan sama atas dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah berhubung projek berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, Azman, 53, didakwa bersubahat dengan Amar Asuat menerima wang berjumlah RM400,000 daripada seorang individu, Mohd. Hassanaim Fauzi sebagai dorongan membantunya mendapatkan projek usaha sama ternakan lembu pedaging secara fidlot tersebut.
Ia didakwa dilakukan hasil persubahatan bagi mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif KAHB mengeluarkan surat tawaran kepada Mohd. Hassanaim bagi projek tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dekat tepi jalan di Jalan Medan Pusat 2D, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi pada 23 Jun lalu kira-kira pukul 5 petang. Justeru, Azman dituduh di bawah Seksyen 28(1)(c) dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) 2009.
Sementara Ammar Asuat, 42, pula didakwa meminta suapan daripada Mohd. Hassanaim bagi projek tersebut pada 20 Jun 2020 dekat sebuah restoran di lokasi sama dan menerimanya pada tiga hari kemudian kira-kira pukul 5 petang di tepi Jalan Medan Pusat 2D itu.
Justeru dia dituduh di bawah Seksyen 16(a) (A) akta sama. Sabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM75,000 setiap seorang berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes terhadap Azman dan Ammar Asuat masing-masing pada 17 dan 13 Januari depan.
Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin, sementara Azman diwakili peguam N. Surendran, Sasha Luna Abdul Latif, Nizamuddin Hamid, Shahid Adli dan Afiq Nordin, sementara R. Yoganathan pula mewakili Ammar Asuat. – UTUSAN










