KUALA SELANGOR: Pas Selangor kekal bersama Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang meskipun menyedari rakannya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan krisis kepemimpinan dalaman.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, bagaimanapun, masalah dihadapi Bersatu itu tidak mengganggu fokus partinya untuk menyusun strategi menjelang PRU16 dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.
“Masalah yang dihadapi Bersatu tidak akan mengganggu kerja kami, insya Allah mereka dapat menyelesaikan dengan segera. Saya nampak jalan penyelesaiannya sudah ada.
“Insya Allah, situasi yang berlaku itu kita akan sama-sama bantu dan memastikan PN terus mengekalkan momentumnya dalam pilihan raya akan datang. Saya yakin, kami bersama rakan-rakan Bersatu, Gerakan dan lain-lain untuk memastikan Selangor dapat diambil alih (daripada Pakatan Harapan),” katanya pada sidang akhbar Program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Pas Ke-71 Peringkat Selangor, hari ini.
Malah, beliau menjelaskan Pas akan akur kepada keputusan kepemimpinan pusat yang akan menentukan sama ada parti itu atau Bersatu akan menerajui kerajaan negeri sekiranya PN menang PRU16 di Selangor.
Rabu lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi berdepan desakan letak jawatan selepas parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 pada Sabtu lalu tewas kesemua 33 kerusi ditandinginya.
Bagaimanapun, kelmarin, akhbar ini melaporkan tindakan menuding jari kepada Muhyiddin yang juga Pengerusi PN sebagai tidak bertanggungjawab kerana belum memperoleh laporan pasca pilihan raya negeri itu.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pimpinan Bersatu Sabah tidak seharusnya membuat tuduhan atau kenyataan terbuka tanpa menunggu laporan lengkap daripada Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Pengarah Pilihan Raya Sabah, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ab. Halim turut memaklumkan pihaknya enggan mengulas mengenai cadangan melantik Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu, sebaliknya parti itu perlu fokus kepada isu rakyat, bukan pertukaran pimpinan kerajaan negeri.
“Isu itu tidak menjadi keutamaan kepada kita, Pas akan terus ke depan. Pas dan PN khususnya, kami fokus kepada soal rakyat. Kurangkan politik pada masa ini, rakyat sedang sengsara.
“Kena ingat, kuasa untuk memilih Menteri Besar adalah terletak pada Sultan Selangor. Sekarang bukan masa yang sesuai kalau nak tukar Menteri Besar. Sekarang rakyat tengah susah dengan isu banjir, kos sara hidup yang tinggi, fokus kepada mereka lebih penting,” tegasnya. – UTUSAN










