Pusat santuari kurangkan konflik gajah-manusia

Pusat santuari kurangkan konflik gajah-manusia

Pembangunan pusat santuari gajah mampu mengurangkan konflik antara mamalia itu dengan manusia-GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Pembangunan Pusat Santuari Gajah Perak yang akan dibina di Batu 11, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dijangka mengurangkan konflik antara mamalia itu dengan manusia sehingga kadar 70 peratus.

Pengarah Jabatan Perlindu­ngan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, pembinaan pusat perlindungan gajah itu bukan sahaja dapat mengelakkan kemalangan membabitkan haiwan liar tersebut malah mengurangkan kes kerosakan tanaman dan gangguan di kawasan penempatan manusia.

“Kami berharap pembinaan pusat santuari itu dapat mengelakkan konflik sekurang-kurangnya 50 hingga 70 peratus.

“Selain itu, pembinaan pusat perlindungan gajah ini juga dapat memberi impak baik kepada sektor ekonomi dan eko pelancongan penduduk khususnya di kawasan Hulu Perak,” katanya semalam.

Menurut beliau, permohonan peruntukan bagi pembinaan pusat santuari itu telah dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi pada 6 Mei lalu dan kini sedang menunggu kelulusan kerajaan Pusat.

Katanya, sekiranya berjalan lancar, projek itu akan dapat direalisasikan pada fasa pertama Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) tahun depan.

“Tapak telah ada dan kami pun sudah lantik perunding untuk merangka konsep yang sesuai dan strategik di kawasan itu. Di peringkat negeri, perbincangan telah diadakan dan kita setuju dengan konsep yang dikemukakan.

“Perbincangan bagaimanapun akan diadakan dari semasa ke semasa untuk membuat penambahbaikan lain. Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai jabatan teknikal pun bersetuju untuk menjayakan projek ini,” katanya.

Pada Disember tahun lalu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Perhilitan bersama kerajaan ne­geri Perak telah mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk pembangunan Tapak Santuari Gajah Perak di Gerik.

Kawasan yang dikenal pasti itu berkeluasan kira-kira 78.8 hektar di Batu 11 berhampiran Tugu Peringatan JRTB.

Kewujudan santuari ber­kenaan menjadikan Perak negeri ketiga selepas penubuhan Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka di Terengganu dan Santua­ri Gajah Johor di Kota Tinggi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×