KOTA BHARU: Polis sedang memburu sekumpulan lelaki yang terlibat dengan satu pergaduhan di jalan Kebun Sultan, di sini sebagaimana tular hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati kejadian pukul 4.27 pagi itu berlaku pada 23 Mei lalu.
“Hari ini sekitar pukul 1.40 petang, pihak kami telah terkesan dengan satu video tular pergaduhan sekumpulan lelaki yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook INFO Rakyat DALAM Kelantan-irdk.
“Video yang berdurasi selama 1 minit 25 saat, telah memaparkan sekumpulan lelaki turun dari dua buah kenderaan bertindak memukul beberapa orang yang berada di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, susulan ini polis sedang mengenalpasti kesemua suspek yang terlibat dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.-UTUSAN