ALOR SETAR: Seorang warga emas wanita maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika dia sedang melintas jalan di Lebuhraya Darul Aman berhampiran Istana Anak Bukit, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 7.46 pagi, mangsa, Chin Seow Hua, 68, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta kaki dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa yang melintas jalan di tempat bukan lintasan pejalan kaki.
Beliau berkata, siasatan mendapati pemandu erusia 29 tahun dari arah Taman Sri Gemilang, Mergong dalam perjalanan menuju ke Jitra, manakala mangsa sedang melintas dari kiri ke sebelah kanan jalan.
“Ketika kereta itu sedang bergerak lurus di lorong kanan dalam keadaan jalan yang gelap tiba-tiba seorang pejalan kaki telah melintas secara mengejut di hadapan laluannya.
“Akibat jarak terlalu dekat, dia tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa. Impak pelanggaran telah menyebabkan wanita itu melambung dan terdapat kesan seretan brek sepanjang 9.6 meter di lorong kanan,” katanya.
Syed Basri berkata, kenderaan itu mengalami kerosakan cermin hadapan pecah, bonet dan bumper depan kemek serta lain-lain kerosakan yang belum pasti.
“Pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat bagi mendapatkan punca kematian. – UTUSAN










