TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup 45.1 tan kelapa bernilai lebih RM1 juta yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan di Kampung Terbak di sini kelmarin.
Tangkapan dan rampasan kelapa itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada pukul 12.30 tengah malam.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, semasa melakukan rondaan anggota bertugas telah menahan sebuah treler dan dua buah lori yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Semasa pemeriksaan kami dapati, ketiga-tiga lelaki itu sedang memindahkan sebanyak 45.1 tan kelapa dari sebuah treler ke dalam dua buah lori.
“Pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek gagal menunjukkan dokumen pembelian kesemua kelapa tersebut. Ketiga-tiga suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kota Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, nilai keseluruhan rampasan termasuk tiga buah kenderaan itu dianggarkan bernilai RM1.35 juta.
Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 4(2) Akta FAMA 141 Rancangan Pemasaran Kelapa 1973.-UTUSAN









