Pesara putih mata selepas wang simpanan RM250,000 lesap

Pesara putih mata selepas wang simpanan RM250,000 lesap

HISHAMUDDIN (tengah) bersama ahli MHO membawa dokumen aduan untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada sidang akhbar skandal pelaburan i-RPS disyaki palsu melibatkan seramai 232 orang mangsa dan jumlah kerugian sebanyak lebih kurang RM80 juta di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pesara syarikat penerbangan berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah lebih RM250,000 lesap selepas menyertai skim pelaburan saham boleh tebus syariah (i-RPS).

Mangsa, Lutfi Daud, 60, berkata, dia mengesyaki ditipu selepas tidak menerima dividen pada bulan ketiga selepas melabur.

Menurutnya, dia tertarik menyertai pelaburan itu selepas diyakinkan oleh ejen yang dikenalinya menerusi aplikasi media sosial Facebook dan melabur sehingga RM250,000.

“Saya percaya dengan portfolio syarikat berkenaan dan mengajak isteri untuk melabur dalam pelaburan itu selepas memperoleh bayaran pada bulan pertama,” katanya dalam sidang akhbar di perkarangan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, di sini, hari ini.

Sementara itu, pengusaha tadika, Abdullah Faizi, 30, telah mengalami kerugian sebanyak RM400,000.

“Sepatutnya mengikut perancangan saya akan melangsungkan perkahwinan pada tahun ini, namun kesemua duit saya telah habis dan kini masih tiada sebarang maklum balas berkenaan kemana duit tersebut pergi.

“Pada bulan pertama dan kedua, bayarannya kemas dan cantik sehingga masuk bulan ketiga, saya bersama pelabur lain sudah tidak menerima sebarang pulangan,” katanya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, jumlah keseluruhan kerugian daripada 232 aduan yang dibuat mangsa setakat ini dianggarkan melebihi RM80 juta dan angka itu dijangka terus meningkat apabila lebih ramai mangsa membuat laporan polis.

“Sindiket itu dipercayai bergerak secara licik, menggunakan pelbagai nama syarikat dan media sosial bagi memperdaya mangsa. Mereka mempunyai rangkaian yang luas dan terancang,” katanya.

Terdahulu, MHO menggesa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) membuka kertas siasatan dan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung dakwaan penipuan pelaburan membabitkan skim saham patuh syariah atau i-RPS yang melibatkan kerugian mencecah RM80 juta.

Gesaan itu dibuat selepas MHO menerima aduan daripada 232 pelabur yang mendakwa menjadi mangsa pelaburan yang ditawarkan beberapa syarikat tempatan melalui agen pemasaran tanpa lesen, serta disyaki tidak sah di sisi undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN