Rakyat Malaysia ke selatan Thailand tidak guna khidmat pelancong, industri tempatan terjejas - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia ke selatan Thailand tidak guna khidmat pelancong, industri tempatan terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SONGKHLA: Corak pelancongan rakyat Malaysia ke selatan Thailand kini menunjukkan perubahan ketara apabila semakin ramai memilih untuk melancong secara persendirian menggunakan kenderaan sendiri, sekali gus menjejaskan pendapatan pemandu pelancong tempatan, terutamanya di bandar pelancongan popular Hat Yai, lapor Bangkok Post.

Menurut Presiden Persatuan Promosi Pelancongan Songkhla, Songchai Mungprasitthichai, sekitar 40 peratus pelancong Malaysia kini memasuki wilayah itu sebagai pelancong bebas, berbanding sebelum ini yang lebih cenderung melancong secara berkumpulan dengan van atau bas, yang lazimnya menggunakan khidmat pemandu pelancong berlesen sebaik tiba di sempadan Thailand.

“Pelancong hari ini mahukan kebebasan dan fleksibiliti. Mereka tidak lagi bergantung kepada pemandu pelancong seperti dahulu. Pengusaha industri pelancongan perlu segera menyesuaikan diri dengan perubahan ini,” katanya.

Di bawah peraturan Thailand, pelancong yang masuk menggunakan kenderaan sendiri dengan kapasiti tidak melebihi tujuh orang tidak diwajibkan untuk mengambil pemandu pelancong berlesen , faktor utama yang menyumbang kepada perubahan trend ini.

Bekas pengasas bersama Persatuan Pemandu Pelancong Songkhla, Witthaya Lim, menyifatkan fenomena ini sebagai “masalah serius” kepada industri pandu arah tempatan.

“Kebanyakan pelancong bebas tidak memerlukan khidmat panduan, mereka hanya bergantung kepada GPS dan media sosial. Ini menyebabkan ramai pemandu pelancong hilang sumber pendapatan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemandu pelancong, Amnart Pruekphikul, percaya faktor ekonomi dan usaha menjimatkan kos menjadi pendorong utama rakyat Malaysia memilih untuk melancong sendiri.

Statistik terbaharu Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand menunjukkan bahawa Malaysia merupakan penyumbang terbesar pelancong asing ke Thailand bagi separuh pertama tahun ini, dengan 2.29 juta ketibaan, mengatasi China yang mencatat 2.26 juta pelawat.

Sebahagian besar pelancong Malaysia ini memasuki Thailand melalui laluan darat di daerah Sadao, Songkhla, sempadan paling sibuk yang menghubungkan Malaysia dan selatan Thailand.

Bagi menangani impak terhadap sektor pandu arah, pihak berkuasa pelancongan Thailand sedang merangka insentif baharu untuk menggalakkan semula pelancongan berkumpulan dan menyokong kelangsungan industri pelancongan tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN