Penagih gagal dikesan, AADK Selangor langgar SOP - EAIC - Utusan Malaysia

Penagih gagal dikesan, AADK Selangor langgar SOP – EAIC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesahkan wujud kecuaian dalam kalangan pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor apabila gagal mengambil tindakan susulan terhadap seorang individu yang disahkan positif dadah.

EAIC dalam satu kenyataan berkata, mereka menjalankan siasatan berdasarkan aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] terhadap pegawai AADK yang terlibat.

Menurut EAIC, hasil siasatan mendapati terdapat empat kecuaian dalam pengendalian kes tersebut.

Antaranya, pegawai AADK gagal memastikan individu terbabit menandatangani Surat Perjanjian dan Jaminan selepas dibebaskan dengan jaminan mahkamah. 

“Kegagalan ini menyukarkan pelaksanaan tindakan susulan apabila individu tersebut tidak hadir semula ke Pejabat AADK seperti diarahkan,” katanya.

Seterusnya, EAIC mendapati wujudnya kegagalan dalam usaha mengesan semula individu tersebut. 

“Walaupun beberapa operasi didakwa telah dijalankan, tiada bukti dokumentasi kukuh yang dapat mengesahkan tindakan pengesanan tersebut benar-benar ditumpukan kepada individu terbabit,” katanya. 

Selain itu, EAIC mendapati wujud kegagalan pengurusan pihak AADK peringkat daerah dalam memantau pegawai bawahan dengan berkesan, sehingga membawa kepada pelanggaran SOP dan Perintah Tetap berkaitan jaminan serta pengendalian kes.  

“Pelanggaran terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Perintah Tetap berkaitan jaminan serta pengendalian kes, menyebabkan kes ini masih tidak dapat diselesaikan,” katanya. 

Tambah EAIC, wujud kelemahan dalam SOP pengesanan individu yang gagal hadir, termasuk ketiadaan garis panduan bagi pegawai penguat kuasa AADK untuk memasuki premis bagi tujuan penahanan individu yang disyaki.

EAIC memutuskan untuk merujuk kes tersebut kepada pihak berkuasa tatatertib AADK supaya tindakan disiplin dapat dikenakan terhadap pegawai terlibat di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN