KUALA LUMPUR: Membangun Ummah Madani diangkat menjadi tema Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 untuk tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pemilihan tema itu bertepatan dengan aspirasi negara dalam melahirkan masyarakat modal insan yang cemerlang daripada aspek spiritual, intelektual, dan akhlak.
Menurutnya, MTHQA ke-65 tahun ini melibatkan seramai 72 peserta yang mewakili 50 buah negara.
“Berdasarkan jumlah itu seramai 40 peserta termasuk 26 lelaki dan 14 perempuan dalam kategori Tilawah Al-Quran.
“Bagi kategori Hafazan al-Quran 30 Juzuk, seramai 32 peserta terdiri daripada 20 lelaki dan 12 perempuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran MTHQA di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Mohd. Na’im berkata, MTHQA ke-65 akan berlangsung di WTCKL selama lapan hari dari 2 hingga 9 Ogos ini dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, Malaysia diwakili oleh empat orang peserta iaitu dua peserta bagi setiap kategori.
“Kategori Tilawah al-Quran akan diwakili oleh Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dari Negeri Perak dan Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi dari Negeri Terengganu.
“Peserta Hafazan al-Quran pula ialah Muhammad Adib Ahmad Rozaini dari Negeri Perak dan Putri Auni Khadijah Mohd Hanif dari Negeri Kelantan,” katanya.
Tambah beliau, MTHQA pada tahun ini dihakimi oleh seramai 16 orang hakim dari pelbagai negara termasuklah Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Indonesia dan lain-lain. – UTUSAN










