KANGAR: Kerajaan negeri terus fokus melaksanakan projek perumahan rakyat dan rumah kos rendah bagi membantu penduduk di negeri ini memiliki kediaman sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil berkata, sehingga suku keempat tahun 2024, Perlis telah mempunyai 27,978 unit rumah terancang dan 11,363 unit kediaman kos rendah.
Katanya, ia membabitkan pembinaan 33 rancangan perumahan awam (RPA) melibatkan 3,136 unit rumah, pembinaan tujuh perumahan awam kos rendah (PAKR) sebanyak 1,366 rumah dan pembinaan tiga program perumahan rakyat (PPR) dengan 1,428 unit rumah.
“Kerajaan negeri secara berterusan berusaha membantu rakyat dalam memiliki rumah yang selesa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembangunan projek perumahan rakyat di seluruh negara khususnya di ibu kota diutamakan berbanding pembangunan pencakar langit.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak peduli jika ketika era pentadbirannya tiada bangunan pencakar langit dibangunkan, sebaliknya mahu perumahan rakyat terbanyak di dahulukan.
Sepanjang lebih dua tahun pentadbiran Kerajaan Madani, sebanyak 468,000 rumah mampu milik telah dibina, diluluskan atau mendapat kebenaran merancang.
Jumlah itu terus meningkat dan dijangka mencapai sasaran 500,000 hujung tahun ini apabila dua lagi projek perumahan rakyat mampu milik mega akan diumumkan oleh kerajaan di Pulau Pinang dan Bandar Malaysia Madani.
Tambah Asrul Aimran, bagi tahun 2025, sebanyak 1,103 permohonan diterima di dalam sistem untuk Taman Hijrah di sini dengan 300 pemohon sudah dipanggil untuk temuduga bagi pengisian 60 unit rumah mampu milik berharga RM140,000.
“Untuk projek perumahan akan datang pula membabitkan cadangan projek baru PPR melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Ia membabitkan satu projek PPR sedang dibangunkan di Padang Besar dan satu projek PPR di Simpang Empat telah diluluskan melibatkan penyediaan 175 unit rumah.
“Pembinaan rumah mampu milik secara Request For Proposal oleh pemaju swasta bagi memperbanyakkan lagi rumah mampu milik melibatkan penyediaan 794 unit rumah di kawasan Titi Tinggi dan Tok Kuning,” katanya.-UTUSAN