LANGKAWI: Pengunjung Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) terutama orang awam berpeluang mengendalikan pelbagai senjata api yang dipamerkan bermula hari ini.
Antara senjata api yang dipamerkan adalah senapang SAR 56 7.5 inci, SAR 15T, MPT 76 SH dan pistol SAR9 Gen 3, SAR9 Sport Gen 3, SAR9 SP serta SAR 7/24.
Pengunjung juga boleh merasai pengalaman memegang atau mengendalikan senapang mesingan ringan iaitu SAR 556 MT yang digunakan oleh tentera Turkiye.
Ketua Jualan Antarabangsa Sarsilmaz Silah Sanayi A.S (Sarsilmaz), Ödül Öden berkata, pihaknya menampilkan pelbagai senjata api buatan Turkiye yang dibawakan khas ke LIMA’25 untuk dipamerkan kepada pengunjung.
“Kami merasa sangat penting untuk pengguna akhir dapat merasai dengan sendiri memegang senjata yang sebenar. Senjata-senjata tersebut bukanlah replika tetapi senjata sebenarnya, cuma larasnya diisi dengan keluli dan tiada pin tembak.
“Jadi pengunjung boleh merasai pengalaman memegang pistol, senapang mahupun senapang mesingan ringan. Jadi mereka dapat mengalami sendiri secara langsung,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Ödül berkata, Sarsilmaz merupakan salah satu pengeluar senjata api terbesar bagi senjata ringan dan senjata api berkaliber sederhana.
Jelasnya, Salsilmaz merupakan syarikat dari Turkiye yang mempunyai fasiliti pengeluaran terbesar di Eropah.
“Kami salah satu syarikat tertua di Turkiye dalam bidang ini dan kami merupakan syarikat Turkiye pertama yang diperakui oleh Kementerian Maklumat dan Teknologi sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ini,” katanya.-UTUSAN.










