Penduduk saran pasang lampu isyarat dekat lokasi nahas trak FRU

Penduduk saran pasang lampu isyarat dekat lokasi nahas trak FRU

PENDUDUK menunjukkan simpang tiga ke arah Chuicak dan Pekan Langkap berdekatan lokasi kemalangan trak FRU di Teluk Intan, Perak, minggu lalu.-UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Penduduk di Jalan Sungai Lampam-Teluk Intan, laluan kemalangan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) minggu lalu menyarankan lampu isyarat dibina di simpang tiga menghala ke Chuicak dan Langkap berdekatan lokasi nahas.

Ketua Kampung Sungai Lampam, Mohammed Nadzri Mat Taib, 60, berkata, ini bertujuan mengurangkan risiko kemalangan di laluan itu memandang­kan laluan Sungai Lampam-Teluk Intan jalan yang sibuk dan banyak digunakan kenderaan berat.

Katanya, kebiasaannya ken­deraan termasuk lori dipandu laju di laluan tersebut kerana jalannya lurus namun agak sempit.
Katanya, lokasi kemalangan tempoh hari hanya kira-kira 150 meter dari simpang tiga tersebut.

“Penduduk berpendapat lampu isyarat perlu dibina di simpang tiga menuju ke Chuicak dan Pekan Langkap dekat dengan lokasi trak kemalangan tempoh hari.

“Jika ada lampu isyarat, kami percaya pengguna lebih selamat. Kenderaan berat akan berhenti atau memperlahankan kelajuan apabila tiba di simpang tiga ini.

“Ini dapat mengelak kemalangan kerana simpang tiga ini merupakan simpang yang sibuk terutama pada waktu pagi ketika ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah selain penduduk ke sawah.

“Penduduk tidak berasa selamat kerana biasanya kenderaan dari Tapah, Kampar menuju ke Teluk Intan dan sebaliknya dipandu laju,” katanya.

Menurutnya, laluan itu juga kerap berlaku kemalangan di­sebabkan jalannya yang sempit dan ini membahayakan pengguna lain terutama jika dua kenderaan berselisih.

Katanya, sedangkan di kiri dan kanan laluan tersebut terdapat perkampungan dan penduduk keluar masuk untuk urusan seharian termasuk pesawah.

“Laluan Sungai Lampam-Teluk Intan sempit untuk ken­deraan apatah lagi lori. Mungkin pihak yang berkenaan boleh melihat keperluan lain seperti melebarkan laluan ini untuk keselamatan pengguna selain menambah papan tanda amaran supaya memperlahankan ken­derana di laluan ini,” katanya.

Dalam kemalangan 13 Mei lalu, sembilan anggota FRU ter­bunuh apabila trak dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di laluan tersebut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×