GAZA: Ratusan ribu rakyat Palestin di Gaza hanya mampu makan sekali setiap dua hingga tiga hari berikutan kekurangan bekalan makanan akibat sekatan berterusan tentera Israel.
Jurucakap Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Adnan Abu Hasna berkata, lebih 66,000 kanak-kanak di Gaza mengalami kekurangan zat makanan yang serius.
Sejak 2 Mac, Israel menutup sepenuhnya semua laluan ke Gaza, menghalang kemasukan makanan, ubat-ubatan dan bantuan penting lain, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedia kritikal di wilayah terkepung itu.
Statistik daripada Pejabat Media Kerajaan Gaza mendedahkan sekurang-kurangnya 57 penduduk Palestin meninggal dunia akibat kebuluran sejak Oktober 2023.
Data Bank Dunia pula menunjukkan hampir 2.4 juta penduduk Gaza kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan untuk kelangsungan hidup.
“UNRWA tidak akan terlibat dalam pelan baharu Israel bagi pengagihan bantuan di Gaza kerana pelan itu langsung tidak mematuhi standard kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” kata Abu Hasna dalam temubual bersama saluran Al-Ghad TV.
Kabinet Keselamatan Israel meluluskan rancangan untuk mengagihkan bantuan di Gaza melalui kontraktor keselamatan swasta, pada Ahad malam.
Bagaimanapun, pelan itu ditolak oleh PBB dan puluhan organisasi bantuan antarabangsa yang menyifatkannya bercanggah dengan prinsip kemanusiaan, sukar dilaksanakan dan boleh membahayakan nyawa orang awam serta petugas bantuan.
Pasukan Kemanusiaan PBB di Gaza menegaskan bahawa mereka hanya akan menyokong pelan yang menghormati prinsip-prinsip kemanusiaan seperti perikemanusiaan, neutral, bebas, dan tidak berpihak.
Lebih 52,500 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan ganas Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023 yang majoritinya wanita dan kanak-kanak.- ANADOLU










