PENANGGUHAN proses Pencalonan Pemilihan Parti 2025 Peringkat Pusat secara mengejut dan cuti mendadak yang diambil oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, sehingga 31 Mei ini, mencetuskan pelbagai spekulasi politik.
Tanpa sebarang petanda awal, tiada angin tiada ribut, langkah ini telah mengundang perhatian akar umbi dan pemerhati politik yang cuba merungkai maksud di sebaliknya.
Difahamkan, keputusan itu diambil tidak lama selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di Putrajaya yang menyaksikan Rafizi menerima tekanan hebat, termasuk dari dalam kemnya sendiri.
Sumber dalaman parti menyatakan Rafizi ditegur oleh pasukannya susulan prestasi hambar kem beliau dalam pemilihan peringkat cabang, dengan hampir kesemua calon disokong beliau kecundang.
Situasi ini menjadi lebih kritikal kerana sistem pemilihan semasa menggunakan kaedah perwakilan, dengan agihan kuasa 60:40 antara kumpulan yang menang dan kalah.
Dalam erti kata lain, kemenangan di peringkat cabang bakal memberikan kelebihan jelas dalam menentukan perwakilan ke peringkat Pusat.
Maka, mereka yang berjaya di cabang dijangka dapat ‘mengatur’ kemenangan calon pilihan mereka di pusat, sekali gus menjadikan masa depan politik Rafizi semakin sukar.
Penangguhan pencalonan itu tanpa sebarang alasan jelas oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan pengambilan cuti oleh Rafizi dikaitkan dengan dilema besar.
Sama ada Menteri Ekonomi itu akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden, atau memilih untuk meletakkan jawatan sepenuhnya.
Sumber turut memaklumkan beliau kini berada di Terengganu, jauh daripada hiruk-pikuk politik pusat, mungkin mengambil masa untuk menilai kedudukannya secara mendalam.
Dalam konteks ini, tindakan Rafizi boleh dibaca dalam dua cara iaitu sama ada satu isyarat strategik untuk ‘mengumpul kekuatan’ sebelum membuat kemunculan semula atau sebagai petanda beliau sedang mempertimbangkan untuk berundur daripada barisan hadapan parti. – UTUSAN