Siasatan kes Zara Qairina perlu dipercepatkan

Siasatan kes Zara Qairina perlu dipercepatkan

ZARA QAIRINA MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan bedah siasat bagi kes kematian Zara Qairina Mahathir yang dijangka mengambil masa sehingga dua bulan dianggap terlalu lama.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr. Arman Azha Abu Hanifah berkata, walaupun menghormati proses siasatan dan lunas undang-undang yang sedang berjalan, kes tersebut sudah menjadi perhatian seluruh negara dan memerlukan tindakan segera.

“Laporan bedah siasat serta siasatan kes ini harus diberi keutamaan supaya jawapan dapat diperoleh secepat mungkin dan suspek atau pelaku dapat dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Arman Azha berkata, kelewatan dalam proses itu boleh menyebabkan masyarakat membuat pelbagai spekulasi dan tanggapan negatif termasuk dakwaan wujudnya konspirasi untuk menutup kebenaran kes tersebut.

“Situasi ini tidak sihat untuk perpaduan negara dan berpotensi menimbulkan kemarahan rakyat yang mungkin sukar dikawal oleh pihak berkuasa,” katanya.

Proses bedah siasat ke atas jenazah Zara Qairina telah selesai dilakukan oleh Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada Sabtu.

Bedah siasat kali kedua dilakukan susulan penggalian semula kubur Allahyarham berikutan arahan Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap punca kematian mangsa.

Peguam yang turut menyaksikan proses tersebut, Shahlan Jufri berkata, tempoh sebenar untuk menyiapkan laporan bedah siasat sukar ditentukan dengan tepat, namun ia boleh mengambil masa sehingga dua bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN