KUALA LUMPUR: Polis akan memohon sambung reman membabitkan bekas pembantu peribadi seorang Ahli Parlimen bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memuat naik video tanpa kebenaran dan hantaran berunsur jahat di Facebook (FB).
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, siasatan masih berjalan dan suspek akan disambung reman esok selepas tempoh reman selama empat hari tamat hari ini.
Media melaporkan polis menahan bekas pembantu peribadi seorang Ahli Parlimen bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memuat naik video tanpa kebenaran dan hantaran berunsur jahat di Facebook (FB), Jumaat lalu.
Mohd. Azam dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu iaitu Ahli Parlimen yang melihat hantaran sebuah akaun FB memuatnaik video milik pengadu tanpa kebenaran dan pengetahuannya pada 12.30 tengah hari pada 30 Julai lalu.
Menurutnya, suspek secara terangan menyebut nama pengadu di hantaran berkenaan yang berunsur jahat dan mendedahkan pengadu kepada kemudaratan atau ancaman terbuka.
“Kesan hantaran itu menyebabkan komen kecaman dibuat oleh pengguna FB yang lain dan komen negatif sehingga beri tekanan, memudaratkan minda, reputasi serta psikologi pengadu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – UTUSAN








